Skip to main content
Berita Sabah & LabuanSabah

‘The Walking Lifeline’ Galak Gaya Hidup Sihat dan Derma Darah

By 19 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan /Foto: Abdu Azmie Mohd Ibrahim/Azman Jumat/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 15 Jun (MalaysiaAktif) – Seramai 500 orang peserta telah menyertai Fun Walk “The Walking Lifeline” daripada pelbagai lapisan masyarakat sempena Hari Penderma Darah Sedunia berlangsung di Kompleks Sukan Likas.

Nicholson Jacob berucap semasa majlis pelancaran Generasi Penderma Darah Muda (Gen 20:25).

Ketua Penolong Pengarah Perubatan, Dr. Nicholson Jacob berkata, acara ini merupakan salah satu pengisian program Hari Penderma Darah Sedunia yang disambut setiap 14 Jun.

“Aktiviti ini bukan sekadar satu bentuk riadah, malah ia menjadi simbol solidariti dan komitmen masyarakat Sabah dalam menyokong gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran betapa pentingnya menderma darah.

“Fun Walk ini juga membawa mesej bahawa setiap langkah kecil menyumbang kepada perubahan besar dalam kelangsungan hidup pesakit dan kesejahteraan komuniti secara keseluruhan,” katanya ketika ditemui pada program tersebut di sini pada Sabtu.

Sekitar suasana program Fun Walk “The Walking Lifeline” sempena Hari Penderma Darah Sedunia di Kompleks Sukan Likas, semalam.

Dalam pada itu, salah seorang peserta Mohamad Hakim Abdullah berkata, program seumpama ini sangat tepat bagi mendukung usaha menjaga kesihatan diri, keluarga dan komuniti setempat.

“Program inj merupakan satu bentuk riadah yang santai dan bersahaja yang boleh disertai oleh pelbagai golongan tidak kira tua ataupun muda, selain juga dapat mengisi masa cuti saya dan keluarga dan sememangnya baik kerana ia sekaligus dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dengan cara kami menyertainya secara bersama-sama sehingga tamat,” katanya.

Pertandingan mewarna kanak-kanak turut memeriahkan pengisian program tersebut.

Untuk makluman, semasa program berlangsung turut diadakan pelancaran Gen 20:25 Generasi Penderma Darah Muda yang bertujuan untuk menggalakkan orang muda menderma darah dengan sasaran sebanyak 20 kali sebelum berumur 25 tahun.

Antara pengisian lain termasuklah aktiviti Zumba, Forum, Ceramah Kesihatan, Pertandingan mewarna kanak-kanak serta pameran dan kuiz daripada pelbagai agensi.

-RJ-

Tinggalkan komen anda