Skip to main content
JohorBerita SelatanBerita Tempatan

Tiga Tiang Elektrik Tumbang, Bahagian Belakang Lori Lupa Diturunkan Langgar Kabel Elektrik

By 44 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)

ISKANDAR PUTERI, 11 Jun (MalaysiaAktif) – Sebuah lori pasir dengan bahagian belakangnya terangkat melanggar kabel elektrik, berhadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gelang Patah, di sini semalam.

Lori pasir yang dipandu dengan bahagian belakangnya terangkat sebelum melanggar kabel elektrik menyebabkan tiga buah tiang elektrik tumbang berhadapan SMK Gelang Patah, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad, berkata kemalangan berlaku kira-kira pukul 3.45 petang dan ketika kejadian, pemandu lori itu tidak menyedari bahagian belakang lorinya terangkat dan melanggar kabel elektrik yang merintangi jalan raya.

“Kejadian itu menyebabkan tiga tiang elektrik tumbang, selain sebuah pondok menunggu di hadapan sekolah berkenaan turut mengalami kerosakan.

“Nasib baik pada ketika itu bukan waktu puncak pelajar-pelajar balik sekolah dan ibu bapa sedang menunggu anak-anak, sudah pasti kesannya lebih teruk lagi,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau juga menyeru pihak berkuasa mengetatkan lagi pemantauan terhadap kenderaan berat yang menggunakan laluan utama di kawasan ini memandangkan pembangunan yang semakin rancak di kawasan Gelang Patah.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumaresan, mengesahkan insiden berkenaan selepas pemandu lori pasir berkenaan tampil membuat laporan polis, petang semalam.

Kerja-kerja pembaikan tiang dan penyambungan bekalan elektrik oleh pihak Tenaga Nasional Berhad.

“Pemandu lori berkenaan ialah seorang lelaki warga tempatan berusia 69 tahun dan tidak menyedari bahagian belakang lorinya tidak diturunkan sehingga melanggar kabel elektrik.

“Hasil ujian air kencing ke atas pemandu lori itu didapati negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,“ katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Rakaman video lori pasir berkenaan melanggar kabel sebelum tiga tiang elektrik tumbang turut tular di media sosial dan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik dan talian internet di pekan Gelang Patah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda