
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Pemilihan Sabah sebagai tuan rumah Sambutan Ulang Tahun ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengukuhkan lagi peranan institusi itu dalam memperluas penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Mohd. Saperi (tengah) bersama pelajar SM All Saints sempena sambutan ulang tahun ke-69 DBP, kelmarin.
Bertemakan Obor Semangat Nan Abadi, sambutan buat julung kalinya diadakan di Sabah itu turut memperkukuh kesedaran awam mengenai kepentingan memelihara bahasa kebangsaan sebagai alat penyatuan masyarakat berbilang kaum, khususnya di negeri berkenaan.
Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Menengah All Saints Mohd Saperi Matnin berkata program sedemikian memberi ruang kepada rakyat mendekati usaha memperkasa bahasa, di samping mengiktiraf kepelbagaian bahasa etnik di Malaysia.

Mohd. Saperi menekankan pentingnya memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Sabah.
“Saya berasa bertuah kerana Sabah dipilih sebagai tuan rumah sempena sambutan ulang tahun yang ke-69 DBP. Ia memberi peluang kepada rakyat negeri ini dan secara tidak langsung dapat mendekatkan usaha pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
“Pendekatan ini sangat baik bagi menyahut cabaran ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, seterusnya menggalakkan pengamalannya dalam kehidupan seharian,” ujarnya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini pada Sabtu.

Khalis Fahmi Khalis Fahmi menyifatkan program itu sebagai peluang berguna bagi golongan muda mengenali peranan DBP.
Sementara itu, seorang pengunjung, Khalis Fahmi Halilul Rahman, 16, menyambut baik penganjuran program yang dianggapnya memberi peluang kepada generasi muda mendalami peranan DBP sebagai pejuang bahasa.
“Program hari ini sangat bagus kerana ia dapat membantu anak-anak muda mengenali DBP. Contohnya, melalui tayangan montaj sejarah tadi, kita dapat mengetahui peranan dan sumbangan DBP .
“Dari situ kita sedar betapa pentingnya peranan DBP dalam menjaga dan memartabatkan bahasa Melayu. Sambutan ini secara tidak langsung membawa kami kepada Bahasa Melayu dengan lebih dekat menerusi kaedah yang inovtif serta menarik,” ujarnya.
-RJ-