
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Johny Joklis (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 20 Jun (MalaysiaAktif) – Modenisasi bahasa dan gaya hidup moden yang tidak terkawal dilihat antara faktor yang boleh menghakis penguasaan serta penggunaan bahasa etnik dalam kalangan generasi muda di Sabah.

Sekitar suasana program berlangsung.
Berkongsi pandangan terhadap situasi ini, pemenang Unduk Ngadau Pesta Kaamatan 2025, Atitih Yatih Robert berkata, fenomena ini bakal mengancam kesinambungan bahasa dan pemahaman generasi baharu terhadap nilai budaya nenek moyang mereka.
Jelasnya, apa yang turut membimbangkan, ramai anak muda di Sabah menganggap perayaan tradisi seperti Pesta Kaamatan sekadar warisan kepercayaan lama yang tidak relevan dengan kehidupan dunia moden hari ini.
“Bahasa Ibunda ini tradisi kita, terutamanya di kalangan orang tua. Tapi sekarang, kita boleh lihat sendiri terutamanya di kawasan seperti Kota Kinabalu, bila kita berjalan-jalan, sudah semakin jarang kita dengar orang bercakap dalam bahasa ibunda.
“Saya sendiri terfikir apabila sering mendengar ungkapan seperti ‘itu hanyalah kepercayaan orang dulu-dulu. Ramai beranggapan bahawa kita kini berbeza, tapi tujuan utama Pesta Kaamatan adalah untuk mengingatkan kita tentang asal-usul dan identiti yang diwarisi daripada nenek moyang, yang perlu kita pelihara sepanjang zaman,” katanya ketika ditemubual dalam program Edisi Khas Teatalk@Jabatan Penerangan Sabah, di sini pada Rabu.
Berkongsi pendapat yang sama, Naib Johan Unduk Ngadau, Elka Alika Pijeh menegaskan, penglibatan anak muda dalam acara kebudayaan seharusnya dijadikan medium untuk mendalami bahasa dan nilai tradisi.
“Anak-anak muda tahu bahawa Kaamatan itu berkaitan dengan identiti diri, kisah nenek moyang mereka dan juga bahasa ibunda yang akan terus diwariskan kepada generasi seterusnya, tetapi penglibatan mereka masih lagi kurang. Kesedaran tentang pentingnya budaya tidak akan wujud tanpa pendedahan sejak awal, termasuk sokongan dan galakan daripada ahli keluarga sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, tempat ketiga Unduk Ngadau, Celarin Jenny berpendapat usaha menyemai rasa cinta terhadap bahasa dan budaya perlu dilaksanakan melalui aktiviti yang bersifat interaktif.

Sekitar suasana program berlangsung.
“Mungkin ada bengkel atau ceramah yang berkaitan dengan tradisi kita dan dari situ sebenarnya banyak input yang boleh kita peroleh melalui pengisian yang kreatif, interaktif serta lebih segar sekali gus senada dengan keinginan anak muda,” jelasnya.
Mengulas lanjut mengenai Unduk Ngadau, ketiga-tiga pemenang Unduk Ngadau ini sepakat bahawa peranan Unduk Ngadau bukan sekadar ratu cantik semata-mata namun lebih luas dan penting sebagai ikon pejuang warisan masyarakat KDMR.
Melalui platform Unduk Ngadau, para pemenang akan menggalas tanggungjawab sebagai duta untuk menyampaikan mesej berimpak tinggi yang mencerminkan suara dan harapan anak muda Sabah hari ini selain menyumbang kepada masyarakat.
-ZS-