
Laporan/foto: Nurul Habibah Hassan/Muhammad Fakhri Md Nor (Manjung)
MANJUNG, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan komitmen memperkasa nilai kemanusiaan, kesukarelawanan dan pendidikan komuniti telah mengadakan Program Budi Madani UPSI 2025 yang telah berlangsung dari 19 Jun hingga 22 Jun lalu di Kampung Pasir Panjang Laut, di sini.

Norkhalid Salimin, ketika menyampaikan ucapan.
Program yang membawa misi memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, selaras dengan prinsip Malaysia MADANI telah melibatkan 50 orang pelajar, pensyarah serta penduduk setempat bagi penglibatan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong perdana, bengkel pendidikan dan literasi digital, pemeriksaan kesihatan percuma, sumbangan bantuan asnaf serta malam kebudayaan dan silaturahim.
“Bertemakan ‘Bersama Membina Masyarakat Berilmu, Prihatin dan Progresif’, program ini telah menjadi platform terbaik kepada mahasiswa-mahasiswi UPSI untuk berkenalan, beramah mesra dan berbakti kepada 25 keluarga angkat di sini selama empat hari, tiga malam“ ujar Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (UPSI) Norkhalid Salimin dalam ucapannya sempena majlis perasmian program Bakti, semalam.

Syazwani menerima sijil dan sumbangan.
Bagi pelajar Abdul Muhaimin Mohd Nor, 23, dan Muhammad Fakhrurrazi Juhari, 22, tinggal bersama ibu bapa angkat bukan sahaja memberi peluang kepada mereka untuk berbakti membantu menyiapkan kerja-kerja rumah, malahan mereka berasa bangga kerana dapat turut terlibat mendidik anak-anak penduduk kampung dalam menghadapi peperiksaan.
Pada majlis yang sama, penyampaian sijil penghargaan dan sumbangan turut diberikan kepada anak jati Kampung Pasir Panjang Laut Syazwani Osman, 18, yang meraih keputusan cemerlang 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.
-ZS-