
KENINGAU, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Sinalau daging atau daging salai bukan sahaja terkenal di Sabah, malah ia kini tembus ke pasaran semenanjung Malaysia dan negara jiran Brunei Darussalam.

Hirwan menunjukkan produk sinalau daging keluarannya yang menggunakan bahan tempatan seperti tuhau dan lada putih.
Usahawan Daging Salai Tuhau asal Tuaran, Hirwan Laidi, 41, mengusahakan perniagaan itu sejak 2020 dengan kaedah sejuk beku menggunakan bahan-bahan tempatan.
Jelasnya, keunikan sinalau daging yang diusahakannya terletak pada teknik ‘chill smoked’ iaitu proses menggunakan wap asap pembakaran yang mengambil masa antara enam hingga sembilan jam.
“Kaedah ini bukan sahaja mengekalkan rasa asli daging tetapi turut meningkatkan ketahanannya untuk simpanan jangka panjang. Ramai pelanggan beli untuk dibawa ketika mengembara kerana ia mudah, tahan lama dan sedap dimakan bila-bila masa.
“Saya berharap sinalau daging ini akan terus diterima di pasaran lebih luas dan suatu hari nanti menjadi antara jenama utama dalam industri daging salai tempatan,” katanya ketika ditemui di reruai IKS pada program The Crocker Range Festival di Dataran Keningau, di sini pada Sabtu.
Tambah Hirwan keunikan daging salainya juga terletak pada bahan-bahan seperti campuran tuhau dan lada putih yang mengangkat cita rasa borneo.

Hirwan (kanan) mesra melayani pelanggan yang mengunjungi gerai jualannya di reruai IKS sempena The Crocker Range Festival kelmarin.
“Sinalau daging turut dihasilkan dalam variasi bahan tempatan seperti campuran tuhau (sejenis makanan tradisional Sabah) dan lada putih yang menjadikannya lebih beraroma dan membuka selera.
“Ramai orang di luar Sabah mungkin belum pernah merasai tuhau atau lada putih, jadi kami hasilkan kedua-dua bahan ini dalam daging salai sebagai cara memperkenalkan cita rasa tempatan kepada orang ramai,” katanya.
Bagi menembusi pasaran yang lebih luas, beliau memastikan produknya halal dan boleh dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk pelancong dalam dan luar negara.
“Sinalau daging ini merupakan produk Muslim Sabah yang halal dan untuk memperkenalkan makanan tradisi ini kepada pasaran moden yang kurang terdedah kepada ramuan asli Borneo adalah satu cabaran buat saya.
“Ini kerana generasi sekarang, ada yang tidak pernah merasai atau mengetahui apa itu tuhau dan lada putih. Jadi kami hasilkan sinalau daging dengan campuran tuhau dan lada putih sebagai cara untuk memperkenalkannya kepada mereka,” jelasnya.
-RJ-