Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Wong Ajong Berpotensi Jadi Tarikan Pelancongan Baharu Sri Aman

By 13 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Iswandi Kassim (Sarawak)

ENGKILILI, 26 Jun (MalaysiaAktif) – Wong Ajong, sebuah kawasan rekreasi semula jadi yang tersembunyi di Marup Atas, Engkilili, bakal dibangunkan sebagai destinasi pelancongan baharu bagi Bahagian Sri Aman.

Perkara itu diumumkan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh, semasa lawatan rasminya ke kawasan tersebut semalam, yang turut disertai pegawai-pegawai pentadbiran, wakil Majlis Daerah Lubok Antu dan pemimpin komuniti setempat.

Ketenangan suasana sungai di Wong Ajong menjadikannya lokasi ideal untuk aktiviti riadah seisi keluarga.

“Wong Ajong memiliki keindahan semula jadi yang luar biasa dan suasana tenang yang sesuai untuk aktiviti riadah keluarga, pencinta alam dan pelancongan komuniti. Kita melihat potensi besar di sini, dan pejabat Residen melalui Sri Aman Development Authority (SADA) komited bekerjasama dengan pihak tempatan untuk memperkenalkan Wong Ajong sebagai satu lagi permata pelancongan di Sri Aman,” ujar beliau.

Lawatan tersebut turut meninjau kemudahan asas sedia ada seperti pondok rehat, laluan kayu, surau kecil serta kawasan anak sungai yang menjadi tarikan utama pengunjung.

Beliau turut memuji usaha komuniti setempat yang menjalankan aktiviti gotong-royong secara berkala bagi menyelenggara kemudahan dan menjaga kebersihan kawasan.

Mahra (tengah) bersama rombongan semasa lawatan ke Wong Ajong.

Menurut Mahra lagi, beberapa cadangan sedang dalam penilaian awal, termasuk naik taraf laluan masuk dan papan tanda pelancongan, pemasangan kemudahan keselamatan seperti pagar dan pencahayaan solar, pembangunan tandas awam serta stesen informasi pelawat dan pogram latihan komuniti untuk pengusaha pelancongan tempatan.

β€œKita akan bekerjasama dengan agensi berkaitan seperti MOTAC, Majlis Daerah, dan Unit Perancang Ekonomi Negeri untuk mengatur pelan pembangunan jangka sederhana yang mampan bagi Wong Ajong dan kita mahu kekalkan keaslian alamnya, sambil menjadikan ia lebih mesra pelawat,” katanya lagi.

Wong Ajong kini semakin mendapat perhatian pengunjung tempatan dan luar yang ingin menikmati suasana damai di dalam hutan, selain menjadi lokasi pilihan untuk aktiviti santai, fotografi, dan perkelahan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda