
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 17 Jun (MalaysiaAktif) – Minuman yogurt kini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat kerana bukan sekadar sebagai satu trend malah menjadi pilihan gaya hidup sihat hingga mendorong usahawan muda tempatan, Nazmudin Asraf Abdullah, 30, tampil membawa kelainan apabila menceburi bidang perniagaan minuman yogurt sejak Julai 2021 yang lalu.

Roti kukus pelbagai perisa yang dijual dengan harga yang berpatutan
Nazmudin mengusahakan pelbagai menu berasaskan yogurt dengan konsep inovatif di bawah jenama @yourgoodmy dan antara variasi yang diperkenalkan termasuklah yosu, koktel yogurt dan aiskrim yogurt yang berjaya menarik perhatian pelanggan dari pelbagai peringkat umur.
Dibantu oleh dua orang pekerja tetap dan dua orang pekerja sambilan, perniagaan yang kini beroperasi di kiosk Majlis Daerah Pendang yang terletak di Pekan Pendang ini hanya berbekalkan modal sendiri serta sokongan pinjaman daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Antara pilihan minuman yogurt yang menjadi kegemaran pelanggan
Menurut Nazmudin yang ditemui di Pekan Pendang semalam, antara cabaran utama yang dihadapi ialah mendidik pengguna tentang kebaikan yogurt kerana masih ramai yang menganggap yogurt sekadar minuman berasaskan trend semata-mata, sedangkan hakikat sebenarnya yogurt kaya dengan khasiat dan memberi banyak manfaat kepada kesihatan.
“Yogurt mengandungi probiotik yang baik untuk sistem penghadaman, membantu melancarkan proses pencernaan dan mencegah masalah seperti sembelit atau perut kembung.
“Selain itu, yogurt juga kaya dengan protein berkualiti tinggi yang berperanan dalam pembinaan otot dan memberikan rasa kenyang yang lebih lama sekali gus amat sesuai untuk individu yang menjaga pemakanan harian,” ujarnya.
Dalam usaha untuk mengembangkan perniagaannya, Nazmudin turut berdepan dengan cabaran dari segi pemasaran dalam talian dan luar talian namun begitu kreativiti beliau dalam mencipta menu baharu telah berjaya menarik perhatian pelanggan dan menjadikan produk yogurt @yourgoodmy semakin dikenali khususnya melalui platform media sosial seperti Tiktok dan Instagram.
Melihat kepada peningkatan kesedaran masyarakat terhadap gaya hidup sihat, Nazmudin optimis bahawa produk berasaskan yogurt mempunyai potensi besar untuk terus berkembang dan mendapat tempat di pasaran tempatan.
-AA-