Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Ziarah Kasih MADANI Eratkan Hubungan Rakyat dan Pemimpin

By 9 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Hairie Izwan Awang (Kuala Nerus)

KUALA NERUS, 23 Jun (MalaysiaAktif) – Program Ziarah Kasih MADANI yang dianjurkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, kelmarin nyata membawa sinar kegembiraan kepada warga emas dan golongan yang memerlukan apabila mereka disantuni secara langsung oleh wakil komuniti setempat.

Ketua Komuniti MADANI Kampung Tuan Mandak Ahmad Aiman Hussin, berkata program ini adalah salah satu inisiatif kerajaan melalui pendekatan MADANI untuk mendekati rakyat secara menyeluruh, tanpa mengira latar belakang dan tahap kemampuan.

Zabidah Ngah, melahirkan rasa syukur dan terharu apabila menerima bantuan keperluan asas dalam program Ziarah Kasih MADANI.

“Kita turun padang bukan hanya untuk memberi bantuan, tetapi untuk menghulur kasih sayang, duduk bersama dan mendengar sendiri masalah mereka.

“Kadangkala, apa yang mereka perlukan bukan sekadar makanan, tetapi telinga yang sudi mendengar dan hati yang mahu memahami,” katanya ketika ditemu ramah selepas selesai program ziarah berkenaan.

Ahmad Aiman turut memaklumkan bahawa program seumpama ini akan diteruskan ke kampung-kampung lain di sekitar DUN Bukit Tunggal sebagai usaha memperkukuh hubungan antara rakyat dan pemimpin akar umbi.

Penerima bantuan Zabidah Ngah, 64, dari Kampung Tuan Mandak melahirkan rasa syukur dan terharu apabila kediamannya diziarahi dan diberikan bantuan keperluan asas seperti makanan kering, barang dapur dan barangan kesihatan.

“Kunjungan ini bukan sahaja menyentuh hati tetapi mengingatkannya bahawa masih ada pihak yang cakna terhadap kebajikan warga emas yang semakin uzur kerana faktor kesihatan.

“Saya benar-benar terharu, dalam usia seperti ni, ada yang sudi datang bertanya khabar, menghulur bantuan dan saya rasa dihargai. Bukan mudah nak dapat perhatian macam ni kalau tiada program sebegini,” katanya dengan nada terharu ketika ditemui semasa program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA), Kuala Nerus.

Ahmad Aiman, berkata program ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan melalui pendekatan Madani untuk mendekati rakyat dan pemimpin.

Wakil penerima Muhammad Adil Haiqal Azman, 21, yang mewakili bapanya, berkata program sebegini memberi kesan yang sangat besar kepada mereka sekeluarga, khususnya dari sudut emosi dan moral.

“Zaman sekarang, ramai yang hidup susah tapi malu untuk mengadu. Bila ada komuniti turun padang, ziarah dan dengar sendiri rintihan rakyat, adalah satu pendekatan yang sangat berkesan. Kami rasa dihargai,” ujarnya.

Setiap ziarah yang dilakukan akan dikenal pasti melalui semakan ketua komuniti setempat, agar bantuan benar-benar sampai kepada yang memerlukan.

Program Ziarah Kasih MADANI ini mendapat kerjasama erat daripada pelbagai agensi tempatan dan sukarelawan belia yang turut sama menyumbang tenaga dalam menjayakan program ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda