
Laporan/foto: Haniff Tukija/Hafiz Mat Nor (Sabak Bernam)
SUNGAI BESAR, 5 Julai (MalaysiaAktif) – Sebanyak 1804 kilogram (kg) minyak masak terpakai dikumpul menerusi Karnival Alam Sekitar Daerah Sabak Bernam 2025 di Dataran Tonggak 10, di sini hari ini.

EXCO Kesihatan Awam & Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin melepaskan burung merpati sebagai simbolik perasmian Karnival Alam Sekitar Daerah Sabak Bernam 2025
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata karnival berkenaan bertujuan meningkatkan serta mempromosi kesedaran orang awam tentang amalan penjagaan alam sekitar.
Ia juga katanya berperanan menggembleng usaha kolaborasi antara agensi dan jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak swasta dan individu dalam pengurusan alam sekitar.
“Pelan Induk Alam Sekitar Negara 2018 – 2030 yang merujuk kepada rangka tindakan komprehensif bertujuan mengintegrasikan prinsip-prinsip kelestarian alam sekitar dan pembangunan teknologi hijau.
“Melalui kesedaran tinggi ini akan dapat menyelamatkan negara dari pemanasan global dan kaedah yang betul bagi pembuangan sampah kitar semula,” katanya.

Kempen Pengumpulan Minyak Masak Terpakai mendapat sambutan yang menggalakkan dari penduduk setempat
Pelbagai pengisian berteraskan kelestarian alam dijalankan antaranya senamrobik, larian alam sekitar, pameran agensi kerajaan dan swasta termasuk kempen pengumpulan minyak masak terpakai.
Turut diadakan kempen e-waste, kempen hindari beg plastik sekali guna, pertandingan mewarna bertemakan alam sekitar, pertandingan inovasi, pemeriksaan kesihatan serta bicara naratif oleh Pejabat Penerangan Daerah Sabak Bernam.
Karnival dianjurkan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam dengan kerjasama pelbagai agensi dan jabatan kerajaan daerah Sabak Bernam, pihak swasta dan NGO.
-AA-