Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

50 Peserta Sertai Sambutan Maal Hijrah 1447H di Masjid Darul Naim Engkilili

By 7 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto : Iswandi Kassim/Fakri Zafran (Sarawak)

ENGKILILI, 3 Julai (MalaysiaAktif)– Sambutan Maal Hijrah 1447H di Masjid Darul Naim, Kampung Melayu Engkilili semalam disemarakkan dengan ceramah bertajuk “Hijrah Digital: Dari Analog ke Era Maklumat – Cabaran Umat Islam” oleh Ustaz Syed Zaimi bin Syed Kamaldin dari Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Lubok Antu.

Ceramah ini diadakan sempena Program JIWA @ Komuniti MADANI Sembang Santai anjuran Jabatan Penerangan Daerah Sri Aman dengan kerjasama Komuniti MADANI Kampung Melayu Engkilili. Seramai 50 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin komuniti, ahli jawatankuasa masjid dan tetamu kehormat telah hadir.

Ustaz Syed Zaimi dari YADIM menyampaikan ceramah Maal Hijrah kepada para peserta di Masjid Darul Naim, Kampung Melayu Engkilili.

Dalam ceramahnya, Ustaz Syed Zaimi menyeru umat Islam untuk melihat hijrah bukan sekadar perubahan fizikal, tetapi sebagai perubahan menyeluruh dalam pemikiran, cara hidup, serta cara berkomunikasi dan menyebarkan maklumat.

“Hijrah sebenar ialah apabila kita mampu keluar dari kepentingan diri kepada kepentingan jamaah dan komuniti yang kuat ialah komuniti yang bersatu, bukan sekadar dalam majlis, tetapi dalam semangat membangunkan masyarakat,” tegas beliau.

Beliau turut menekankan pentingnya komunikasi berkesan dalam mengurus komuniti secara harmoni, menangani isu semasa dan menyebarkan maklumat sahih.

Peserta menerima bahan penerbitan Jabatan Penerangan yang diedarkan sempena program, antaranya Risalah Rukun Negara.

Program tersebut turut melibatkan pengedaran bahan penerbitan berbentuk pendidikan sivik seperti Risalah Rukun Negara, Risalah Jangan Jadi Mangsa Scammer, dan Panduan Lafaz Penuh Ikrar Rukun Negara.

Turut hadir ialah Ahmad @ Suhaili Ahmad, Penghulu Kampung Melayu Engkilili; Safariza Bujang, Pegawai Penerangan Daerah Sri Aman; Herman Dollah Abdullah, Ketua Komuniti MADANI Kampung Melayu Engkilili; dan Jamil Marzuki, Pengerusi Masjid Darul Naim.

-RJ-

Tinggalkan komen anda