Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

ASEAN Perlu Tumpu Usaha Tangani Cabaran Perbezaan dalam Isu Keselamatan Siber

By 1 jam yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi (Putrajaya)/Facebook Zahid Hamidi

PUTRAJAYA, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026-2030 yang diterajui Malaysia memberi tumpuan kepada usaha kerjasama masa nyata bagi menangani cabaran perbezaan ketara dalam takrifan, siasatan dan pendakwaan jenayah siber membabitkan negara anggota.

Beliau berkata jurang tersebut semakin melebar sejajar perkembangan teknologi dengan penjenayah siber mengambil kesempatan terhadap ketidakkonsistenan yang merentasi sempadan.

“Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026-2030 yang akan dibentangkan pada persidangan Oktober ini perlu memberi tumpuan khusus kepada usaha kerjasama dalam kalangan negara anggota khususnya tindak balas insiden, forensik digital, pertukaran data yang selamat dan penyelarasan dasar.

“Mekanisme ini mesti menjunjung prinsip kerahsiaan, kedaulatan dan kepercayaan bersama yang penting dalam menangani ancaman keselamatan siber yang sensitif,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan Keselamatan Siber 2025 (CYDES 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata perkara tersebut menandakan perubahan besar bagi ASEAN dan Malaysia sebagai pengerusinya tahun ini yang sentiasa memandang serius isu keselamatan siber berbangga kerana dapat memainkan peranan utama memacu momentum tersebut.

Malaysia juga katanya sedang melabur, menggubal undang-undang dan paling mustahak, sedang bekerjasama merentasi agensi, industri dan sempadan.

Ia kerana landskap ancaman katanya sedang berubah dengan cepat dan menurut Global Cybersecurity Outlook 2025, 60 peratus organisasi melaporkan ketegangan geopolitik telah memberi kesan langsung terhadap kesiapsiagaan siber mereka.

“72 peratus telah mengalami peningkatan risiko siber. Separuh daripada mereka menyenaraikan kecerdasan buatan (AI) sebagai kebimbangan utama dan 40 peratus telah menjadi mangsa serangan kejuruteraan sosial.

“Di Malaysia, situasinya tidak kurang mendesak. Indeks Kesiapsiagaan Keselamatan Siber 2025 oleh Cisco menunjukkan 93 peratus organisasi telah menghadapi serangan berkaitan AI dalam tempoh setahun yang lalu, namun hanya 51 peratus pekerja memahami ancaman ini. Kerentanan sebenar juga terletak pada tahap kesedaran kita.

“Inilah sebabnya mengapa pembangunan kapasiti menjadi teras kepada misi keselamatan siber Malaysia. Pada 2023, kami melancarkan program My Cyber Hero membabitkan pelajar sekolah bagi memupuk celik digital sejak awal dan hari ini, CYDES 2025 memperluaskan usaha melalui Pertandingan ASEAN My Cyber Hero, yang membangunkan bakat serantau dari peringkat akar umbi,” katanya.

Ahmad Zahid sekali gus menekankan tiada teknologi sekuat manusia di belakangnya dengan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) katanya memainkan peranan penting melahirkan bakat yang bersedia untuk industri dan meningkatkan mobiliti sosial dalam sektor keselamatan siber.

Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) selaku penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan Malaysia akan memanfaatkan sepenuhnya pentas berkenaan bagi menampilkan komitmennya dalam memimpin agenda keselamatan siber.

Sebagai tuan rumah kepada edisi ketiga pameran berkenaan, CYDES 2025 yang bermula hari ini sehingga Khamis (3 Julai) menghimpunkan pemain utama industri siber, pembuat dasar, pakar teknologi serta pemimpin sektor awam dan swasta dari 25 buah negara.

Platform terpenting dalam membincangkan landskap keselamatan siber serantau itu membawa tema ‘Memperkasa Daya Tahan Siber’, satu mesej jelas tentang keperluan memperkukuh kesiapsiagaan keselamatan siber negara.

-FN-

Tinggalkan komen anda