
Laporan/foto: Mohd Firdaus Mahmud (Kedah)
BALING, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Kisah pengorbanan dan keajaiban tatkala Allah SWT memerintahkan Nabi Musa AS dan pengikutnya menyelamatkan diri daripada dikejar Firaun terus menjadi pedoman serta iktibar (ibrah) yang menyatukan umat Islam sehingga hari ini.
Meneruskan tradisi itu, Komuniti MADANI Bongor Baru telah menganjurkan program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) peringkat Kampung Bongor Baru dengan aktiviti bergotong-royong memasak bubur Asyura, sempena sambutan Hari Asyura.

Perkumpulan Riadah Wanita Bongor Baru turut bekerjsama menyiapkan juadah bubur Asyura.
Sebanyak lima kawah Bubur Asyura berjaya disediakan hasil kerjasama lebih 100 penduduk kampung bersama ahli Komuniti Madani Bongor Baru.
Persiapan memasak telah dimulakan sejak sehari sebelum program bagi memastikan kelancaran majlis.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Bongor Baru, Nor Azmi Ramli, program ini jelas membuktikan semangat perpaduan yang kukuh dalam kalangan penduduk.
“Jalinan perpaduan antara Komuniti MADANI Bongor Baru dan penduduk kampung terbukti hari ini melalui kerjasama menyiapkan lima kawah Bubur Asyura. Persiapan ini bermula sejak semalam hasil semangat muafakat penduduk Kampung Bongor Baru,” ujarnya, di sini hari ini.
Program ini turut mendapat sokongan Perkumpulan Riadah Wanita Bongor Baru, yang memainkan peranan penting menyediakan bahan masakan dan membantu proses memasak.

Edran bubur Asyura kepada pengguna jalan raya di Bongor Baru.
Seorang penduduk, Rohaida Suhaimi, 52, ketika ditemui, berkata kerjasama erat antara komuniti dan penduduk kampung adalah kunci keharmonian.
“Kerjasama antara Komuniti Madani dan penduduk kampung adalah satu kemestian kerana ia merupakan elemen penting dalam memupuk perpaduan di kawasan Bongor Baru,” katanya.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Penerangan Daerah Baling Amran Mohamad Kamis, yang merasmikan program tersebut.
Sambutan Hari Asyura melalui aktiviti tradisi seperti memasak Bubur Asyura bukan sahaja memelihara warisan budaya tetapi menjadi wadah mengeratkan ukhuwah, selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
-RI