
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)
BIDOR, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Kampung Petalin terus melangkah ke hadapan dalam sektor pelancongan desa apabila melancarkan Projek Pelancongan dan Hospitaliti ATV (kenderaan serba rupa bumi) di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI).

Dr. Yusri turut berpeluang mencuba menaiki ATV yang diusahakan oleh JPKK Kampung Petalin melalui dana peruntukan SejaTI MADANI.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Perak Mazlan Zurin yang turut merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Petalin atas inisiatif memperkenalkan produk pelancongan berasaskan komuniti.
“Projek ini bukan sahaja membuka peluang ekonomi kepada penduduk, malah menyokong pembangunan pelancongan negeri secara mampan dan inklusif,” ujarnya dalam ucapan perasmian di Padang Kampung Petalin, di sini semalam.
Menurutnya, pelaksanaan program SejaTi MADANI dengan dana sehingga RM100,000 memberi tumpuan kepada pengupayaan komuniti melalui ilmu, kemahiran dan peluang ekonomi, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Antara laluan yang perlu ditempuh oleh pengunjung.
Inisiatif ATV ini turut memberi manfaat kepada pengusaha inap desa, dusun durian dan tapak perkhemahan melalui kolaborasi produk pelancongan yang lebih menarik.
Ahli Jawatankuasa SejaTi MADANI Nonaliza Mohamad, 47, berkata selain aktiviti ATV, pelbagai produk hiliran tempatan juga dapat dipasarkan, sekali gus menjana pendapatan tambahan kepada penduduk.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Dr. Ustaz Mohamad Yusri Bakir.
-RI