
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Nur Atikah Rusly (LMS)
IJOK, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Keindahan alam semula jadi Kampung Teras Ijok kini dimanfaatkan sepenuhnya menerusi usaha komuniti tempatan yang menjadikan kampung ini sebagai lokasi pelancongan keluarga berasaskan aktiviti lasak dan santai.
Menurut pengusaha Mohamad Akbar Abdul Razak, 37, kini telah menerima sambutan yang menggalakkan dengan lebih 500 pengunjung telah direkodkan sepanjang beberapa bulan beroperasi.

ATV yang disediakan kepada pengunjung bagi menikmati keindahan alam.
“Antara aktiviti utama yang ditawarkan termasuklah menunggang 15 buah all terrain vehicle (kenderaan serba rupa bumi/ATV) dan dua ekor kuda telah menjadikannya sebagai satu tarikan unik yang sesuai untuk seisi keluarga.
“Kemudahan ini membolehkan pengunjung merasai pengalaman mengelilingi kawasan kampung sambil menikmati kehijauan alam semesta,” katanya.
Melalui kemudahan ATV yang ditawarkan kepada pengunjung, mereka mampu menjana pendapatan melebihi RM3,000 sebulan, sekali gus membuktikan bahawa pelancongan komuniti mempunyai potensi besar untuk merancakkan ekonomi luar bandar.
Menambah lagi kejayaan inisiatif ini, beliau turut menerima Geran SejaTi MADANI melalui penyaluran dana kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselmatan Kampung (JPKK) Kampung Teras pada tahun ini, secara tidak langsung telah meningkatkan lagi kualiti kemudahan serta memperluaskan promosi ke peringkat lebih tinggi.

Pegawai Daerah Larut, Matang dan Selama menurunkan tanda tangan sempena dengan perasmian bagi Projek SejaTi Madani di AOB Village Homestay, di sini kelmarin.
“Kami mulakan projek ini untuk memberikan pilihan pengalaman aktiviti rekreasi kepada keluarga tempatan dan pelancong luar.
“Alhamdulillah, sambutan sangat positif dan kami bercadang untuk tambah lagi kemudahan di masa hadapan,” katanya ketika ditemu ramah selepas perasmian Projek SejaTi MADANI di AOB Village Homestay, di sini kelmarin.
Projek ini menjadi bukti bahawa pendekatan pembangunan secara inklusif dan berpaksikan rakyat seperti yang digariskan dalam kerangka Malaysia MADANI mampu untuk menjadikan kampung ini sebagai pusat pertumbuhan baharu yang mampan dan progresif.
Turut hadir Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat.
-RI