
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Hairie Izwan Awang (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Generasi muda di Kampung Gong Kijang, Bukit Tunggal, di sini terpanggil untuk menghadiri Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) Komuniti MADANI bagi mendalami ilmu pengurusan jenazah yang diadakan di Surau Haji Noh, kelmarin.
Program yang berjaya menarik penyertaan seramai 60 penduduk tempatan ini dianjurkan hasil kerjasama komuniti setempat ini sarat dengan pengisian kerohanian dan kemasyarakatan turut memberi kesedaran tentang pentingnya membuat persediaan menghadapi detik kehilangan insan tersayang.
Lebih membanggakan, penglibatan aktif daripada golongan muda mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan belia terhadap ilmu fardu kifayah.
Menurut penceramah jemputan, Abdul Rahman Salleh, ilmu pengurusan jenazah bukan hanya untuk golongan tertentu, malah wajar difahami oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira usia.

Ahmad Ammar teruja mengikuti program ini kerana berpeluang memahami proses sebenar pengurusan jenazah.
“Masih ramai dalam kalangan kita yang menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab ini kepada segelintir individu. Program seperti ini mampu melahirkan lebih ramai yang berilmu dan bersedia menyumbang tenaga dalam urusan fardu kifayah,” jelasnya semasa menyampaikan ceramah.
Ahmad Ammar Zafri Azrul, 15, berkata penyertaannya dalam program ini membuka matanya mengenai proses sebenar pengurusan jenazah.
“Sebelum ini saya hanya belajar secara teori. Kini saya lebih faham dan yakin untuk membantu jika berlaku kematian dalam keluarga,” katanya.

Azeem Zafran menyifatkan program ini bukan sahaja untuk golongan dewasa, malah golongan belia perlu tahu dan ini tanggungjawab bersama.
Seorang lagi peserta, Azeem Zafran Azril, 18, pula mengakui bahawa program seumpama ini memainkan peranan penting dalam membentuk jati diri remaja serta menanam nilai keprihatinan sosial.
“Biasanya kita anggap ilmu ini hanya untuk golongan tua, tetapi sebenarnya belia juga perlu tahu dan bersedia. Ini tanggungjawab kita bersama,” ujarnya.
Selain pengisian ilmu, turut diadakan bacaan yasin dan tahlil yang berjaya mengeratkan hubungan antara peserta pelbagai peringkat umur serta menzahirkan nilai ukhuwah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat.
Program JIWA Komuniti MADANI terus membuktikan keupayaannya menyuntik nilai kemanusiaan, tanggungjawab sosial serta kesedaran spiritual dalam usaha membina masyarakat yang lebih cakna dan bersatu hati.
-RI