
Laporan/foto: Shalene Selva Segar
GEORGE TOWN, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Sambutan Hari Pengangkutan Pulau Pinang 2025 yang berlangsung buat julung kalinya di Aras 3, KOMTAR kelmarin menjadi platform penting dalam mendidik orang ramai tentang kepentingan sistem pengangkutan yang mampan, selamat dan inklusif.

Antara reruai yang menjadi tumpuan pengunjung.
Acara selama tiga hari itu menghimpunkan 14 agensi dan organisasi yang mempamerkan pelbagai inisiatif, teknologi serta solusi terkini dalam bidang pengangkutan.
Lebih 300 pengunjung berdaftar hadir untuk meninjau secara dekat perkembangan mobiliti masa depan pengangkutan negeri ini.
Antara pameran yang mencuri tumpuan termasuk demonstrasi sistem pengangkutan awam moden seperti perkhidmatan bas mesra alam, teknologi pengangkutan pintar, infrastruktur hijau serta penyelesaian mobiliti masa hadapan.
Menurut salah seorang pengunjung Nurul Ashikin, 35, penganjuran program ini wajar diteruskan kerana memberi pendedahan berguna kepada masyarakat.
“Program ini sangat bermanfaat, ia membuka ruang kepada perbincangan terbuka tentang cabaran dan peluang dalam membentuk sistem pengangkutan yang lebih cekap dan mesra alam di Pulau Pinang,” katanya.
Sambutan ini turut dijangka menjadi pemangkin kepada perancangan jangka panjang kerajaan negeri dalam merealisasikan agenda mobiliti lestari untuk rakyat.
-FN-