
Laporan/foto: Mohamad Fikri Johari/Mohd Fikri Hakim Mohamad Ariffin (LMS)
IJOK, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Jari Jahit Komuniti Desa yang dibangunkan menerusi Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) mencipta ruang baharu kepada wanita luar bandar untuk menjana pendapatan melalui bidang jahitan dan sulaman moden.
Menurut pengusahanya Zanazlina Abd Aziz, 45, kemahiran jahitan yang dimiliki dipelajari sepenuhnya secara dalam talian.

Antara produk jahitan yang dihasilkan.
“Projek ini bermula pada Januari 2025 secara kecil-kecilan dengan hanya menjahit pakaian bertemakan kemerdekaan, tudung dan aksesori di bawah jenama ‘Jari Jahit Collections’,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Jari Jahit Komuniti Desa di Kampung Sungai Jernih di sini, kelmarin.
Kini, perniagaan yang bermula dari rumah itu mampu menggajikan sepuluh orang pekerja sekali gus menjadikan antara projek komuniti yang aktif serta menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi penduduk setempat.
“Projek ini mampu menjana pendapatan purata RM1,000 sebulan melalui jualan dalam talian dan bersemuka terutamanya di acara tempatan dan pasar komuniti.

Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat hadir merasmikan program.
“Antara cabaran utama ialah proses jahitan sulaman yang mengambil masa sehingga 91 minit untuk disiapkan bergantung kepada corak, namun dengan minat mendalam serta sokongan komuniti usaha ini terus berkembang.
“Selain itu, kami juga menyediakan perkhidmatan menjahit baju raya. Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan apabila menjelang musim perayaan,” katanya.
-RI