Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Jelajah Komuniti Kuala Pertang ke Pulau Tumpat Kukuhkan Ukhuwah

By 12 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Radzi Yusof

KUALA KRAI, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Program Jelajah Komuniti anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kuala Pertang bersama Komuniti MADANI Kuala Pertang dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kuala Pertang berjaya mengeratkan hubungan sesama komuniti sambil menyantuni keindahan alam dan warisan negeri Kelantan.

Program yang melibatkan seramai 45 peserta itu membawa mereka menjelajah ke Gugusan Pulau di Tumpat menerusi perjalanan yang cukup unik dan mengujakan.

Rombongan bergambar bersama dengan Pengerusi KRT Tumpat (empat dari kanan).

Rombongan memulakan perjalanan menaiki kereta api dari Kuala Krai ke Stesen Tumpat sebelum meneruskan perjalanan ke Pengkalan Ndor dan seterusnya menaiki bot ke destinasi utama, Pulau Seri Tanjung.

Setibanya di pulau tersebut, peserta disambut mesra oleh warga KRT Tumpat yang diketuai Pengerusinya, Rosdi Razali bersama Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Tumpat Mohd Azuan Mahmood serta pimpinan JPKKP Tumpat.

Antara aktiviti yang mencuri tumpuan termasuk pengalaman menaiki kereta api klasik, pelayaran bot ke pulau, menikmati keindahan alam semula jadi serta merasai juadah tempatan yang terkenal dengan keenakan dan harga berpatutan.

Bagi seorang peserta, Salmah Ismail, 52, program ini membuka peluang baharu untuk mengenali keindahan negeri sendiri.

“Ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Pulau Seri Tanjung. Suasananya sangat damai dan mengingatkan saya pada zaman dahulu, terutama apabila kami menaiki kereta api bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi KRT Kuala Pertang Abdullah Yusof, menyifatkan program ini bukan sahaja berjaya mengukuhkan semangat perpaduan, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran terhadap nilai warisan dan keindahan semula jadi negeri.

“Perjalanan menaiki kereta api dan bot ini melambangkan keterhubungan antara komuniti bandar dan luar bandar. Interaksi dengan penduduk Pulau Seri Tanjung turut mempererat hubungan antara KRT dan JPKKP dua daerah,” jelasnya.

Menurutnya, penganjuran program seumpama ini wajar diteruskan sebagai langkah memperkasakan komuniti, menyemai rasa cinta terhadap negeri serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat.

-FN-

Tinggalkan komen anda