
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Dungun)
DUNGUN, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Suasana ceria dan penuh semangat terpancar di wajah para peserta Joging Santai anjuran Komuniti MADANI Kampung Sura Hujung menerusi Program Jalinan Ihsan Wahana Aspirasi (JIWA)@Komuniti MADANI Sembang Santai yang berlangsung di Trek Joging Pantai Teluk Lipat, di sini kelmarin.
Program yang dijalankan dengan kerjasama Persatuan Joging Dungun itu bukan sahaja memupuk amalan gaya hidup sihat, malah turut mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

Syafiqah ceria menyambut kehadiran peserta Joging Santai.
Menurut Ketua Komuniti MADANI Kampung Sura Hujung Syafiqah Nabihah Shamsul Bahri, 28, beliau amat berterima kasih atas kehadiran dan sokongan semua pihak terhadap program ini.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Walaupun diadakan pada hari minggu dan ada yang tidak dapat hadir kerana komitmen lain, namun kehadiran yang ada sudah cukup menggambarkan semangat komuniti yang sihat, ceria dan bersatu hati,” katanya.

Abd Hafiz antara peserta aktif yang menyokong penuh program joging santai.
Bagi seorang pesara tentera Abd Hafiz Rahmat, 66, yang turut serta dalam program ini aktiviti seperti ini memberi ruang untuk bertemu, berkongsi pandangan dan memperkukuh hubungan sesama komuniti.
“Saya seronok dapat berkumpul beramai-ramai. Program seperti ini perlu diteruskan kerana ia bukan sahaja menyihatkan tubuh badan tetapi juga menyemai nilai-nilai murni dalam masyarakat,” ujarnya.
Inisiatif sebegini membuktikan bahawa aktiviti riadah ringan seperti joging mampu menjadi jambatan ke arah membina komuniti yang lebih harmoni dan sihat.
-FN-