
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Facebook Ling Tian Soon (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Johor akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terhadap isu kekurangan petugas kesihatan di tiga hospital utama negeri ini.

Ling Tian Soon menyatakan kebimbangan berkenaan kekurangan petugas kesihatan terutama jururawat dan akan mencari jalan penyelesaian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani isu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon, berkata pertemuan bersama KKM dijadualkan berlangsung hari ini (semalam) dengan fokus utama mengisi kekosongan jawatan yang memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan kesihatan negeri.
“Masalah kekurangan petugas kesihatan ini berpunca daripada tawaran gaji lebih lumayan di hospital-hospital di Singapura, yang menyebabkan ramai memilih untuk berhijrah ke sana.
“Akibatnya, fasiliti kesihatan di Johor terpaksa memindahkan petugas dari hospital lain untuk menampung kekurangan ini,” katanya dalam sidang media di Danga Bay Convention Centre (DBCC), di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Hospital Pasir Gudang (HPG), yang dijadualkan mula beroperasi 1 Ogos ini, juga berdepan cabaran sama dan terpaksa mengambil petugas dari beberapa daerah lain di Johor bagi memastikan kelancaran operasi.
“Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan mengutamakan penempatan petugas yang tinggal berhampiran hospital tersebut bagi memudahkan operasi, selain menggabungkan tenaga kerja berpengalaman dengan kakitangan baharu di setiap unit jabatan,” jelasnya.
Hospital Pasir Gudang dijangka memberi manfaat kepada lebih 200,000 penduduk di kawasan sekitar apabila mula beroperasi sepenuhnya Ogos ini.
-RI