Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

Kerjasama Erat Rentas Agensi Perlu untuk Tangani Isu Jenayah Siber – Fahmi

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Faizal Nazmi

PUTRAJAYA, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Kerjasama erat rentas agensi diperlukan dalam menangani isu jenayah siber, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata keperluan sama turut membabitkan hal-hal dasar kerana masalah di ruang siber bukan tanggungjawab tunggal sesebuah agensi.

“Isu scam, ia merentasi Bank Negara…melibatkan akaun bank, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan juga beberapa aspek keselamatan siber.

“Jadi, kesungguhan pelbagai agensi untuk bekerjasama itu sangat penting. Tapi, mesej yang saya harap dapat disampaikan dalam panel tadi ialah akhirnya masih banyak daripada isu keselamatan siber ini juga berpandukan kepada pengguna sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai forum bertajuk Ensuring a Safer Digital Malaysia: Strengthening Online Safety Policies and Public Awareness sebagai panel bersempena Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES 2025), di sini hari ini.

Fahmi berkata amalan sihat yang disebut sebagai cyber hygiene akan membantu memastikan keselamatan pengguna di ruang digital iaitu seperti tidak sewenang-wenangnya klik pada sebarang pautan, melaksanakan pengesahan dua langkah (2-step authentication) dan menukar kata laluan setiap enam bulan ke setahun.

Beliau juga mengambil maklum perkongsian oleh Ketua Penolong Pengarah (Perancangan Strategik) JSJK ACP Lai Lee Ching mengenai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang bakal beroperasi 24 jam sehari.

“Kemungkinan NSRC juga akan memanfaatkan AI (kecerdasan buatan) untuk membantu dalam menerima panggilan dan membuat pelaporan,” katanya.

Selain Fahmi, forum berkenaan turut dibarisi Lee dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital Ma. Sivanesan Marimuthu sebagai panel.

-FN-

Tinggalkan komen anda