
Laporan/ Foto: Kamarulzaman Ahmad/ Shahfiq Aqmal dan Mohammad Izwan
DALAT, 8 Julai (MalaysiaAktif) – Semangat komuniti dan keprihatinan terhadap alam sekitar terserlah menerusi Program JIWA@Komuniti MADANI anjuran Pejabat Penerangan Daerah Dalat bersama Komuniti MADANI Uyak yang berlangsung di kawasan Oya Square dan Oya Walk sini, semalam.
Program ini fokus kepada aktiviti gotong-royong bagi membersihkan dan menceriakan kawasan awam yang menjadi tumpuan masyarakat setempat dan menjadi wadah memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan masyarakat dan penduduk tempatan.

Penceramah berkongsi maklumat penting semasa sesi penerangan program.
Lebih daripada sekadar usaha kebersihan, inisiatif ini turut memperkukuh peranan Komuniti MADANI sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan di peringkat akar umbi.
Menurut Pegawai Penerangan Daerah Dalat, Maria Tungkat, program berasaskan masyarakat seperti ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengutamakan nilai kebersamaan, keharmonian dan kesejahteraan untuk semua pihak.
“Program ini memberi peluang untuk masyarakat melibatkan diri secara langsung dalam usaha mencorak persekitaran yang lebih bersih dan harmoni dan berperanan memperkukuh hubungan dua hala antara kerajaan dan rakyat,” jelas Maria.

Maria memberikan ucapan sempena pelaksanaan program kemasyarakatan Komuniti MADANI di sini, semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa Komuniti MADANI bukan sahaja berperanan dalam menyebarkan maklumat, malah menjadi saluran penting menyampaikan suara rakyat kepada pihak kerajaan.
“Mereka memainkan peranan penting dalam menyampaikan inisiatif kerajaan kepada rakyat termasuk membawa pandangan komuniti tempatan kepada pihak berwajib,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Uyak, Ibrahim menyatakan bahawa program seperti ini dapat membina kesedaran sivik yang lebih tinggi dalam kalangan penduduk.

Peserta menerima bahan penerbitan edaran Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) semasa program berlangsung
“Gotong-royong seperti ini bukan sahaja menyemai nilai murni, malah mempererat hubungan antara komuniti dan agensi kerajaan – sesuatu yang wajar dijadikan amalan berterusan,” katanya.
Program ini mendapat penyertaan pelbagai jabatan dan agensi termasuk Majlis Daerah Dalat dan Mukah, RELA Daerah Dalat, PERKIM Cawangan Oya dan Dalat, Skuad Kasih Sayang Daerah Dalat, Penjaja Oya Square dan Oya Walk, Komuniti Daerah Kecil Oya serta ahli-ahli Komuniti MADANI Uyak.
-RJ-