
Laporan/foto: Lizza Imelia M. Sulanah (Larut Matang dan Selama)/KWSP Taiping
BATU KURAU, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Program Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Taiping bersama komuniti Batu Kurau dengan kerjasama rakan strategik AK Flow Solution dan Pejabat Penghulu Mukim Batu Kurau telah diadakan di Arena Batu Kurau, di sini kelmarin.

Para pelajar turut teruja bagi mengikuti aktiviti Bersama KWSP Taiping.
Program ini telah mengetengahkan konsep penjualan semula minyak masak terpakai bagi mendidik penduduk setempat tentang kepentingan pengurusan sisa minyak terpakai secara mesra alam disamping dapat menjana pendapatan tambahan dan simpanan melalui akaun KWSP.
Menurut Ketua Cawangan KWSP Taiping Faizah Malek Shukuri, KWSP terus komited dalam memastikan tahap kesedaran penduduk setempat tentang kepentingan tabung persaraan.
“KWSP Taiping akan mempergiatkan program bersama komuniti di sekitar daerah LMS (Larut Matang dan Selama) bagi merealisasikan usaha untuk memberi pendedahan kepada masyarakat bagi membuat simpanan di KWSP demi pendapatan persaraan yang lebih selesa,” katanya.
Tambahnya lagi, kali ini KWSP bersama rakan strategik AK Flow Solution yang merupakan sebuah syarikat minyak masak terpakai bagi berganding bahu dalam mendidik masyarakat menjual minyak masak terpakai dan mendapat pulangan berupa wang ringgit seterusnya dimasukkan ke dalam akaun KWSP.
Program ini turut menarik perhatian bukan sahaja dari golongan dewasa tetapi juga para pelajar yang bersemangat untuk menyertai program ini, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jelai, SMK Dato Kamaruddin dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Syubbaniah.

Ucapan Perasmian oleh Pegawai Daerah LMS Mohd Nasrul Menhat.
Sebanyak 11 agensi terlibat dalam program ini iaitu Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Batu Kurau, Tabung Haji, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pejabat Kesihatan Daerah Larut Matang Dan Selama dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat.
Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar Perak Kamal Yusri Haji Awang Kamaruddin, Penghulu-Penghulu Mukim Batu Kurau, wakil-wakil jabatan, ketua-ketua Komuniti dan pemimpin masyarakat.
-RI