
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Mohd Hairie Izwan Awang (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Suasana pagi di Taman Desa Tanjung Damai (TDTD), Gong Badak bertukar menjadi pesta komuniti penuh warna-warni apabila lebih 500 penduduk setempat menyertai Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI di sini, kelmarin.

Nurul Syahida Abdul Rahim, teruja dengan program yang dilaksanakan dan membawa semua ahli keluarganya sambil menolak kereta sorong untuk menyertai larian tersebut
Acara utama, Larian Merentas Desa Komuniti MADANI menjadi simbol semangat kejiranan, perpaduan komuniti dan sokongan sosial merentas generasi demi kehidupan yang sihat.
Program ini telah dirasmikan oleh Azan Ismail, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Negeri Terengganu yang turut mewakili Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa program sebegini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah memperkukuh jaringan sosial rakyat.

Mohd Jasmin Ismail bersemangat walaupun berkerusi roda akibat kemalangan dua bulan lalu, turut hadir memberikan sokongan padu kepada masyarakat
Antara yang mencuri perhatian ialah Nurul Syahida Abdul Rahim, 37, yang bukan sahaja menyertai larian, malah membawa seluruh ahli keluarganya termasuk anak kecil yang ditolak dalam kereta sorong demi merasai sendiri semangat kebersamaan komuniti.
“Saya mahu anak-anak membesar dengan nilai kekeluargaan dan semangat komuniti. Walaupun mencabar, ia tetap berbaloi demi kebersamaan,” katanya.
Lebih menyentuh hati, Mohd Jasmin Ismail, 52, yang kini berkerusi roda akibat kemalangan dua bulan lalu, turut hadir memberi sokongan kepada peserta membuktikan bahawa keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk menyumbang semangat kepada masyarakat.
“Walau tak dapat berlari, saya tetap mahu bersama-sama merasai semangat kejiranan dan perpaduan ini. Kita perlu saling sokong-menyokong,” katanya penuh semangat.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan, antaranya pemeriksaan kesihatan percuma oleh Farmasi Fajr, pameran kesedaran wanita dan keluarga oleh Skuad WAJA (JPW) serta demonstrasi dramatik oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mengenai cara menangani ular dalam situasi kecemasan yang menarik perhatian ramai, khususnya golongan muda.
Kemuncak acara dimeriahkan dengan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah menarik sebagai tanda penghargaan atas sokongan padu komuniti.
Program JIWA@Komuniti MADANI jelas membuktikan bahawa pendekatan turun padang yang inklusif dan menyeluruh mampu menyatukan rakyat, mengukuhkan ikatan sosial serta menjadi asas kepada pembinaan masyarakat yang harmoni dan sejahtera.
-AA-