
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Nik Nasrullah Nik Azami (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Sebuah helikopter jenis AS355N milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) terlibat dalam kemalangan semasa menjalani latihan di kawasan Sungai Pulai, Gelang Patah, di sini semalam.

Lokasi kejadian helikopter PDRM kemalangan berhampiran jeti APMM di Jalan Cabang, Pekajang, Gelang Patah, Iskandar Puteri, semalam.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), helikopter tersebut yang membawa lima kru termasuk juruterbang berlepas dari Balai Polis Tanjung Kupang pada pukul 9.51 pagi bagi melaksanakan latihan Field Training Exercise (FTX) Multilateral Nuclear Security Detection Exercise (MITSATOM 2025).
“Insiden dilaporkan berlaku pada jam 10.15 pagi. Kesemua mangsa berjaya diselamatkan oleh Pasukan Polis Marin dan dibawa ke Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya.

Kenyataan tersebut turut menyatakan beberapa agensi kerajaan dan pihak berkuasa turut digerakkan ke lokasi bagi menjalankan kawalan serta tindakan lanjut.
CAAM memaklumkan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia, selaras dengan peruntukan Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
-RI