
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd Rizal/Sunday Grace (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 3 Jul (MalaysiaAktif) – Komitmen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam memperluas jaringan keselamatan sosial kepada semua lapisan masyarakat terus diperluas menerusi pelaksanaan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR).
Dirangka khas bagi menghargai peranan suri rumah menguruskan keluarga sepenuh masa, SKSSR hanya memerlukan caruman tahunan sebanyak RM120 setahun dengan pelbagai tawaran faedah perlindungan seperti hilang upaya kekal, keuzuran dan pencen penakat kepada waris.

Dr. Muhammad dalam sesi temubual Influencer@JAPEN Sabah dikendalikan oleh Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, Jabatan Penerangan Sabah, Nuzuluddin Abdul Razak.
Pengarah PERKESO Sabah, Dr. Mohd Ali Hindia berkata SKSSR menyediakan perlindungan sosial kepada suri rumah termasuk faedah hilang upaya kekal, keuzuran, pemulihan dan faedah kematian.
“SKSSR terbuka kepada wanita warganegara Malaysia berumur di bawah 55 tahun yang menguruskan hal ehwal rumah tangga secara sepenuh masa dan mereka (suri rumah) dilindungi 24 jam sehari termasuk semasa bercuti kerana mereka masih lagi menguruskan hal keluarga.
“Carumannya hanya RM120 setahun, tetapi manfaatnya sangat membantu dan sekiranya berlaku kehilangan upaya kekal seperti kehilangan ibu jari semasa memotong bawang contohnya, mereka layak menerima faedah sehingga RM30,000 bergantung kepada peratusan hilang upaya,” katanya ketika ditemu bual dalam program Influencer@JAPEN, di sini pada Selasa.
Sebagai ketua isi rumah beliau turut menyarankan suami mencarum untuk pasangan masing-masing sebagai persediaan masa depan sekali gus memastikan kebajikan keluarga sentiasa terpelihara.

Dr. Muhammad menerima sijil penghargaan daripada Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Media Siber, JAPEN Sabah, Puan Geraldine Voo.
“Sekiranya suri rumah meninggal dunia, suami akan menerima pencen penakat bulanan sebanyak RM300 sebulan. Selain itu, jika berlaku keuzuran yang memerlukan rawatan berturutan, PERKESO turut menanggung bantuan pemulihan sehingga maksimum RM6,000,” jelasnya.
Pendaftaran SKSSR dan skim PERKESO yang lain boleh dibuat melalui aplikasi PERKESO Prihatin atau hadir ke mana-mana pejabat PERKESO di seluruh negara.
-RJ-