Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

LUAS Kenal Pasti Punca Air Sungai Kapar Kechil Bertukar Biru

By 49 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/LUAS

SHAH ALAM, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya mengenal pasti punca pencemaran air berwarna biru di Sungai Kapar Kechil susulan siasatan lanjut yang dijalankan pada 6 dan 8 Julai, selepas penemuan awal pada 18 Jun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Kesihatan Selangor Jamaliah Jamaluddin, siasatan pada 6 Julai di Kawasan Industri Batu 8, Jalan Kapar mendapati sebuah premis kitar semula plastik terlibat dalam aktiviti mencurigakan termasuk penggunaan pam untuk mengepam efluen dari kolam ke sungai tanpa kebenaran.

Gambaran dari udara menunjukkan air Sungai Kapar Kechil berubah warna menjadi biru.

Katanya, dua pam lain turut dikesan digunakan bagi mengabstrak air sungai secara haram.

“LUAS telah mengarahkan premis berkenaan menghentikan serta-merta penggunaan pam dan menjalankan pensampelan air di lokasi berkaitan untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) termasuk membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 79(4) dan Seksyen 107(b), Enakmen LUAS 1999.

“Pada 8 Julai, satu lagi premis dikenal pasti iaitu sebuah stor penyimpanan cecair getah yang disyaki menyebabkan aliran sisa cecair biru terus ke longkang dan parit seterusnya ke Sungai Kapar Kechil berikutan kebocoran pada penutup tangki simpanan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, Jamaliah berkata LUAS telah mengeluarkan Surat Arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen LUAS 1999 untuk menghentikan aliran, menjalankan kerja-kerja pembersihan serta pensampelan, yang turut dipantau rapi sehingga selesai pada pukul 10.45 malam, 8 Julai.

Sebuah premis kitar semula plastik disyaki terlibat mengepam efluen dari kolam ke sungai.

“Kertas siasatan juga telah dibuka ke atas premis kedua itu di bawah Seksyen 79(4), Enakmen LUAS 1999.

“Kerajaan Negeri memandang serius pencemaran sumber air dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang kecuaian atau aktiviti tanpa kebenaran yang mengancam alam sekitar serta bekalan air negeri,” ujarnya.

Tambah beliau, tindakan pantas LUAS berjaya mengelakkan risiko pencemaran lebih besar terhadap Sungai Kapar Kechil dan laut Selat Melaka.

-RI

Tinggalkan komen anda