Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Maal Hijrah Cerminan Perpaduan Ummah di Menumbok

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Amirul Dait/Maslizam Sedek (Kuala Penyu)

KUALA PENYU, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Penganjuran program keislaman dilihat sebagai salah satu platform penting memperkukuh kesatuan ummah serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.

Ruslan ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Kecil Menumbok 1447H/2025M.

Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah (Hal Ehwal Agama) Datuk Ruslan Muharam berkata, program yang menerapkan nilai mahmudah mampu membentuk jati diri generasi muda yang lebih unggul menerusi pengisian program yang bermanfaat.

Jelasnya, program seperti Sambutan Maal Hijrah mampu menjadi jambatan untuk mengeratkan perpaduan masyarakat yang hidup dalam kepelbagaian latar belakang dengan menyemai semangat hijrah.

“Majlis ini bukan sekadar sambutan, tetapi satu usaha yang mendalam untuk memperkukuhkan perpaduan ummah dan masyarakat di daerah kecil Menumbok.

Mohamad (dua dari kanan) ketika ditemui selepas menyertai pertandingan kompang.

“Ia juga penting dalam meneruskan perjuangan Rasulullah SAW agar dapat difahami dan dihayati oleh golongan muda hari ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Sambutan Maal Hijrah dan Mahrajan Kesenian Islam Peringkat Daerah Kecil Menumbok 1447H/2025M di Tapak Pesta Nelayan Mempakul di sini pada Khamis.

Salah seorang peserta pertandingan kompang, Mohamad Muazuddin Musa, 19, menyifatkan program itu sebagai landasan positif untuk golongan muda mendalami nilai Islam secara kreatif.

“Saya rasa sangat bersemangat dapat sertai program seperti ini. Ia bukan sahaja mengasah bakat, tetapi juga membuka ruang untuk kami lebih memahami nilai-nilai dalam budaya Islam.

“Saya harap program seperti ini diteruskan setiap tahun kerana ia memberi banyak manfaat kepada belia seperti saya,” ujarnya.

Pg Jaafar menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Menumbok tahun ini.

Pengisian rohani turut menjadi teras utama penganjuran menerusi ceramah khas disampaikan oleh Mufti Negeri Sabah, Sahibus Samahah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar yang menyentuh kepentingan memahami konsep hijrah.

Dalam pada itu, bagi menghargai jasa dalam bidang dakwah dan kemasyarakatan, Pg Jaafar Pg Osman telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Daerah Kecil Menumbok Tahun 2025.

Antara acara yang dianjurkan sempena program itu termasuk pertandingan nasyid, kompang dan marhaban yang mendapat penyertaan aktif daripada golongan belia dan komuniti setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda