
Laporan/foto: Muhamad Haizir/Sobri Hazwan (Langkawi)
LANGKAWI, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Majlis Pengenalan Pasukan bagi Kejohanan Junior Cycling Malaysia (JCM) Stage Race telah berlangsung dengan meriah di Dewan Senja, Ombak Villa Langkawi, di sini semalam bagi memperkenalkan pasukan-pasukan kejohanan berprestij yang berlangsung selama tiga hari bermula dari 9 hingga 11 Julai ini bagi merebut tiga jersi utama yang dipertandingkan.

Ucaptama oleh Mohd Safrushahar sekali gus merasmikan majlis.
Pengarah Pengurusan Acara dan Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusof dalam ucapan perasmian, berkata kejohanan ini bukan sahaja penting untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam sukan berbasikal negara tetapi juga memberi pendedahan berharga kepada para pelumba dan jurulatih.
“Edisi JCM kali ini yang berlangsung di Langkawi menjanjikan laluan yang mencabar serta pengalaman baharu buat peserta, sekali gus menguji ketahanan fizikal dan mental para pelumba muda,” katanya.

Muhammad Hakimi ketika ditemu bual.
Salah seorang peserta yang mewakili negeri Perlis dan juga Juara Kebangsaan acara tersebut, Muhammad Hakimi Edy Sunarko, 18, berkata walaupun kejohanan ini berlangsung di dalam negara, persaingannya sangat sengit kerana prestasi pelumba lain semakin meningkat.
Muhammad Hakimi turut berkongsi bahawa minatnya terhadap sukan berbasikal bermula selepas disapa oleh jurulatih ketika sedang berbasikal bersama rakan-rakan di kampung halamannya di Perlis.
-RI