Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Masjid Tonggak Penyatuan Ummah, Hijrah Asas Transformasi Insan

By 9 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Ag Ku Marzuki Ag Latip (Tawau)

TAWAU, 08 Jul (MalaysiaAktif) – Pengurusan masjid dan surau di kawasan perbandaran digesa agar lebih komited dalam memakmurkan institusi tersebut sebagai pusat penyatuan ummah dan pembangunan ilmu.

Nizam berucap semasa merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1447H/2025M peringkat Perbandaran Tawau.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, masjid memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat sejajar dengan agenda Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah menjadi pusat pembelajaran Al-Quran dan ilmu agama sebagaimana ditunjukkan Rasulullah SAW ketika membina Masjid Quba. Ia adalah lambang perpaduan dan asas membina umat,” katanya semasa merasmikan Majlis Sambutan Ma’al Hijrah 1447H/2025M peringkat Perbandaran Tawau di Dewan Masyarakat Tawau, Ahad lalu.

Nizam ketika sesi sidang media bersama pemberita selepas majlis perasmian, kelmarin.

Menyentuh mengenai hijrah, Datuk Nizam mahu umat Islam mengambil iktibar dari setiap peristiwa Hijrah yang menyimpan banyak nilai mahmudah untuk diteladani demi membentuk sahsiah insan yang bertunjangkan ajaran Islam.

““Hijrah itu perjuangan dan pengorbanan. Peristiwa hijrah Rasulullah SAW membawa pelbagai pengajaran dalam membentuk masyarakat yang berilmu, bertakwa dan positif. Ia bukan sekadar perpindahan fizikal, tetapi juga perubahan hati dan niat ke arah menjadi hamba Allah yang lebih baik,” ujarnya.

Nizam mengabadikan kenangan bersama peserta program Ma’al Hijrah 2025.

Bertemakan ‘Membangun Umat Madani’, majlis tersebut turut diisi dengan ceramah khas oleh mantan Timbalan Mufti Negeri Sabah, Datuk Abdul Manaf Lakariba yang menyentuh keperluan umat Islam untuk terus berhijrah ke arah kejayaan dunia dan akhirat.

Sementara itu, Datin Seri Zakiyah Mustafa telah dinobatkan sebagai Tokoh Ma’al Hijrah 2025 atas sumbangan beliau dalam bidang kebajikan dan penglibatan aktif dalam pembangunan masyarakat Islam di Tawau.

Sambutan kali ini menampilkan pelbagai pengisian bermakna seperti ceramah khas, perutusan hijrah serta penganugerahan Tokoh Ma’al Hijrah dengan penglibatan khusus Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Tawau (JHEAINS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) sebagai Jawatankuasa Pelaksana.

-RJ-

Tinggalkan komen anda