
Laporan/ Foto: Janica Jasmine Temaga James (PPD Meradong)
BINTANGOR, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @Komuniti MADANI sempena sambutan perayaan Gawai Dayak melabuhkan tirainya dalam suasana penuh kemeriahan menerusi acara tradisi Ngiling Bidai di Rumah Panjang Mening, Mador Ili, Bintangor pada Sabtu.

Mening (dua dari kiri) menyerahkan bidai kepada Thomas (tiga dari kanan) sebagai simbol penutupan rasmi Gawai.
Majlis Ngiling Bidai bukan sahaja menjadi simbol penutupan rasmi sambutan Hari Gawai Dayak, malah turut memperkukuh semangat perpaduan serta kerjasama dalam kalangan masyarakat Iban.
Thomas Geoffrey Kandawang, 45, yang pertama kali menjejak kaki ke Rh Mening sejak menjawat jawatan Pegawai Daerah menyatakan keterujaannya dapat berkumpul dan meraikan bersama program JIWA @Komuniti MADANI Sambutan Perayaan.

Thomas (kiri) bersama Tuai Rumah Kam Ganing semasa persiapan upacara Miring.
“Majlis sebegini boleh menjadi jambatan penghubung antara agensi kerajaan dan komuniti setempat, di mana pelbagai maklumat sahih dapat disampaikan secara langsung tanpa perlu hadir ke pejabat kerajaan di bandar,” katanya.
Tambah beliau, program sebegini turut menjadi tanda kerukunan jalinan hubungan sesama komuniti sekitar Mador Ili tanpa mengira perbezaan budaya, kaum dan latar belakang bagi membina perpaduan yang mantap untuk membina masyarakat yang sejahtera, aman dan sentiasa maju ke hadapan.

Taklimat keselamatan dalam talian dan semakan SST oleh Nor Hidayah kepada komuniti.
Turut diadakan ialah taklimat keselamatan dalam talian oleh Pejabat Penerangan Daerah Meradong yang memberi kesedaran kepada masyarakat berkaitan risiko penipuan siber dan kepentingan semakan maklumat secara sah.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Meradong Nor Hidayah Ismail, Ketua Komuniti MADANI Rh Ngumbang Ngumbang Mansor dan ahli jawatankuasa Komuniti MADANI Rh Ngumbang.
-RJ-