
Menteri Komunikasi Santuni Warga Jabatan dan Agensi Kementerian Komunikasi Pulau Pinang
Laporan/foto: Mastura Mohamed Rowther
BUTTERWORTH, 1 Jul (MalaysiaAktif) – Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengingatkan warga Kementerian Komunikasi untuk terus menyampaikan mesej kerajaan sampai kepada rakyat secara sahih, cepat dan tepat.
Beliau berkata peranan sebegitu penting pada era kini di mana maklumat bergerak dengan pantas dan kadangkala mengelirukan.
“Justeru, saya menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga kementerian yang merupakan barisan hadapan dalam mendepani cabaran penyampaian maklumat kerajaan kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika meluangkan masa menyantuni warga jabatan dan agensi di bawah kementerian tersebut di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) sempena lawatan kerjanya ke Pulau Pinang, di sini semalam.

Sesi soal jawab bersama peserta yang hadir.
Program yang berlangsung dalam suasana santai dan bermakna itu bukan sahaja membuka ruang interaksi dua hala secara terus antara kepimpinan tertinggi kementerian dan warga kerja peringkat negeri malah menjadi platform untuk berkongsi cabaran, cadangan serta aspirasi dalam memperkukuh agenda komunikasi strategik negara.

Warga jabatan dan agensi Kementerian Komunikasi negeri Pulau Pinang mendokong aspirasi Malaysia MADANI melalui penyampaian komunikasi yang berkesan.
Sesi tersebut turut mencerminkan semangat keterbukaan dan kebersamaan antara pimpinan dan warga kementerian dalam mendokong aspirasi Malaysia MADANI melalui penyampaian komunikasi yang berkesan dan berintegriti.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) Datin Paduka Nurul Afida Kamaludin, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran Nasaruddin Abdul Muttalib dan Ketua Hal Ehwal Negeri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Bukhari Yahya.
-FN-