
Laporan/foto: Sarah Nur Saad (Perak)/Polis Daerah Manjung
MANJUNG, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Balai Polis Ayer Tawar telah berjaya menemukan dua mangsa berbangsa India yang dilaporkan hilang dan kedua-duanya berjantina lelaki.
Menurut Ketua Polis Daerah Manjung ACP Hasbullah Abd Rahman, laporan polis telah diterima pada 8 Julai lalu melibatkan mangsa pertama yang tidak pulang ke rumah setelah keluar pada pukul 6.20 petang, hari yang sama manakala, mangsa kedua pula disyaki tidak pulang ke rumah semenjak 27 Jun yang lalu.
Hasil daripada maklumat awam, Balai Polis Ayer Tawar telah menemukan mangsa pertama di dalam kebun kelapa sawit, Jalan Sri Perak 2, Ayer Tawar, di sini dalam keadaan tidak sedarkan diri, semalam.
Manakala, mangsa kedua ditemui dalam keadaan mayat telah reput di sebuah rumah kosong, Lorong 1, Taman Biru, Ayer Tawar, di sini, semalam.
Hasbullah melalui kenyataan media PDRM Manjung turut menyatakan bahawa Pegawai Perubatan telah mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian serta kini di bawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung bagi menjalani bedah siasat.
Hasbullah turut menyeru kepada orang awam untuk memberikan maklumat bagi kejadian tersebut ke Balai Polis Ayer Tawar atau pun boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung di talian 05-6886222 atau melalui aplikasi WhatsApp 017-6828005.
-RI