
Laporan/foto: Norfaizah Adnan/Rahimah Rafiai
KUALA LUMPUR, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Galeria Sri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri Malaysia ke-4, kini dibuka semula kepada umum selepas menjalani proses menaiktaraf dan pemuliharaan. Galeria ini bukan sahaja mengekalkan nilai sejarah yang tinggi tetapi sebagai gedung ilmu dan pusat pelancongan pendidikan.

Ketua Pengarah Arkib Negara merasmikan Majlis Pembukaan Galeria Sri Perdana.
Perasmian pembukaan Galeria Sri Perdana telah dirasmikan oleh Ketua Pengarah Arkib Negara Datuk Jaafar Sidek Abdul Rahman semalam.
Majlis ini menyaksikan kehadiran negarawan ulung Tun Dr. Mahathir Mohamad yang juga merupakan tokoh utama yang pernah mendiami kediaman tersebut sewaktu menerajui negara.
“Menelusuri sejarahnya, bangunan ini asalnya dikenali sebagai Sri Timah, kediaman milik Malaysia Mining Corporation sebelum diambil alih oleh kerajaan dan dijadikan kediaman rasmi Tun Dr. Mahathir Mohamad sekeluarga dari tahun 1983 hingga 1999. Galeria ini telah diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia pada 3 Ogos 2000 dan dibuka kepada umum pada tahun 2013,” katanya.

Antara tetamu yang hadir.
“Namun, akibat pandemik COVID-19, Galeria ini ditutup pada tahun 2020–2021 dan kemudiannya ditutup sementara mulai 1 Januari 2023 bagi memberi laluan kepada Projek Menaik Taraf dan Memulihara Peragaan Bangunan. Projek ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) dan siap sepenuhnya pada 17 Disember 2024,” ujarnya.
Galeria Sri Perdana dibuka kepada orang ramai setiap hari Selasa hingga Ahad, dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan ditutup pada hari Isnin, kecuali musim cuti persekolahan.
-RI