
Laporan/foto: Hasrulazlinda Hassan (Negeri Sembilan)/Ibu Pejabat AADK
PORT DICKSON, 6 Jul (Malaysiaaktif) – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengadakan Sambutan Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Sembilan dan Ride AADK Tahun 2025, bertempat di Dewan Bagan Pinang, di sini pada Sabtu yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Wanita Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim.

Noorzunita menyampaikan ucapan perasmian.
Objektif sambutan adalah bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai bahaya dadah dengan menyampaikan mesej ‘Pencegahan Dadah Tanggungjawab Bersama’ secara inklusif kepada masyarakat pelbagai lapisan melalui pendekatan santai, sihat dan terbuka serta menggalakkan penglibatan komuniti khususnya belia dan keluarga dalam usaha mewujudkan persekitaran bebas dadah.
Program bermula seawal pagi dengan konvoi bermotosikal gabungan bersama Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Ibu Pejabat, melibatkan seramai 150 orang penunggang membawa misi menyampaikan mesej antidadah secara langsung kepada komuniti melalui aktiviti walkabout dan walking message serta pendaftaran SKUAD Antidadah di lima pantai utama Port Dickson.
Turut diadakan ziarah prihatin ke rumah klien AADK, penyampaian bakul rahmah sebagai tanda keprihatinan kepada mereka yang sedang menjalani pemulihan dalam komuniti, aktiviti sukaneka seperti mewarna keluarga, fitness dance, pemeriksaan kesihatan, jualan produk serta pameran oleh jabatan dan agensi.

Ziarah kasih dan sumbangan kepada klien AADK.
“Program seperti ini sedikit sebanyak memberikan manfaat dan kesedaran kepada masyarakat bahawa dadah merupakan musuh negara yang paling utama dan perlu dihapuskan selama-lamanya,” kata salah seorang peserta Noorshazana Shaadan, 35, ketika ditemui.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Warisan, Teknologi, Inovasi dan Digital Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi Datuk Mohd Faizal Ramli, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK Khairul Anuar Bachok dan Pegawai Daerah Port Dickson Nurhazelin Makli.
-FN-