Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

Perasmian Program STI 100³ di SMK Serting Hilir Kompleks

By 2 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Muhd Naim/SMK Serting Hilir

JEMPOL, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) secara rasmi melancarkan Program Sains, Teknologi dan Inovasi 100 kuasa tiga (STI 100³) serentak di seluruh negara, semalam.

Program tersebut mencatatkan pencapaian yang membanggakan kerana termasuk di dalam dua rekod kebangsaan Malaysia Book of Records iaitu yang pertamanya diiktiraf sebagai Program Jangkauan Saintis Terbesar, melibatkan 100 orang saintis yang berinteraksi secara langsung dengan 100 sekolah dalam masa 100 hari di mana program seperti ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.

Sebahagian pelajar yang menyertai Program Sains, Teknologi dan Inovasi 100 kuasa tiga (STI?100³)

Manakala, rekod kedua kebangsaan pula adalah bagi Penyertaan Pelajar Terbanyak dalam Sesi STEM Interaktif, iaitu lebih daripada 20,000 pelajar dari pelbagai latar belakang, termasuk sekolah desa dan bandar, menyertai aktiviti hands on seperti permainan STEM inovatif dan bengkel sains serta teknologi.

Menurut Ketua Penyelaras Program, Ts.Mohd Zuhaimi Yacob, seramai lapan orang saintis dari pelbagai latar belakang dan agensi telah dipilih oleh pihak MOSTI untuk menjayakan program ini.

Ts Zuhairi dalam slot bersama pelajar

“Kami telah diberikan tanggungjawab untuk menceritakan keajaiban dunia sains kepada pelajar-pelajar sebagai salah satu usaha untuk menarik minat pelajar mendalami sains,” ujarnya.

Tambahnya, SMK Serting Hilir Kompleks merupakan antara empat sekolah yang terpilih di dalam Negeri Sembilan untuk menjayakan program ini.

Sementara itu, Faizah Muhammad Pengetua SMK Serting Hilir Kompleks berasa sangat berbangga kerana ia merupakan program yang melibatkan paling ramai para saintis yang turun ke sekolah dan dijalankan serentak di setiap sekolah di seluruh negara.

“Program seperti ini membuka ruang kepada pelajar untuk meneroka, berfikir secara kritis dan menyampaikan idea dalam bentuk yang sangat ringkas tetapi berimpak dan melalui program seperti ini juga melahirkan generasi pewaris negeri yang bukan sahaja celik teknologi tetapi juga bersedia untuk menjadi pencipta dan pemimpin masa akan datang dalam bidang STEM,” katanya.

Program ini akan dilaksanakan untuk tempoh tiga fasa dan akan berakhir pada bulan September ini.

-AA-

Tinggalkan komen anda