Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Pertandingan Tiga Penjuru Gamatkan Simulasi ‘Mengundi’ SMK Raja Muda Musa

By 45 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hufaidatul Azfa/Zalizan Yaacob

KUALA SELANGOR, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Simulasi persis pilihan raya sebenar melibatkan seramai 250 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, di sini pada Rabu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon daripada tiga parti ‘politik’.

Ketiga-tiga calon Hazim Asri, Nur Farzana Mohd Helmi dan Wan Izzul Aqif, masing-masing berusia 17 tahun menggamatkan suasana dewan dengan manifesto yang dibawa, sudah pasti mendorong kepada kemenangan parti ditandingi.

‘Kerani-kerani’ pengundian ketika menjalankan tugas.

Pelajar Tingkatan Lima dan Empat termasuk ahli Kelab Malaysiaku turut diberi peranan sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sekali gus menambah kefahaman terhadap sistem demokrasi negara.

Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran Fauziah Mohd, pendedahan ini merupakan platform awal kepada pelajar bagi membentuk sifat tanggungjawab dan kefahaman dalam sistem demokrasi Malaysia.

“Ini adalah cara yang praktikal untuk mereka memahami bagaimana sistem pilihan raya berfungsi dalam dunia realiti, juga sebagai warganegara yang bertanggungjawab memilih pemimpin,” ujarnya.

Taklimat berkaitan Undi 18 dan pendidikan pengundi turut disampaikan oleh Penyelaras Program Pendidikan Pengundi, SPR Negeri Selangor Mohamed Shaheed Mohamed Ayob.

Pegawai Penerangan Daerah (lima dari kiri) bersama barisan Guru Penyelaras Kelab Malaysiaku dan para ‘petugas SPR’ yang mempamerkan rasa berpuas hati dengan penganjuran program.

Sementara itu Pegawai Penerangan Daerah Kuala Selangor Hufaidatul Azfa Saffie, berkata melalui Program JIWA@Kelab Malaysiaku anjuran Jabatan Penerangan, pelajar terdedah dengan pengalaman praktikal prosedur pilihan raya.

“Simulasi ini membolehkan pelajar mengalami sendiri setiap peringkat proses pilihan raya, dari pendaftaran pemilih, penamaan calon, kempen, membuang undi sehinggalah ke pengiraan undi.

“Dengan pendedahan awal ini, pelajar akan lebih bersedia untuk mengambil bahagian sebagai pengundi apabila mereka mencapai umur yang layak kelak, demi tanggungjawab dan kepentingan dalam proses membuat keputusan negara,” katanya.

-FN-

Tinggalkan komen anda