
Laporan/foto: Anuar Che Amat
PADANG BESAR, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menyeru rakyat di negeri ini menghayati prinsip-prinsip MADANI dan mengamalkannya dalam kehidupan.
“Prinsip-prinsip MADANI seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan haruslah dijadikan budaya hidup oleh seluruh warga negeri. Ia tidak cukup sekadar slogan, tetapi mesti diterjemahkan dalam tindakan harian.

Majlis perasmian Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis Tahun 1447 H / 2025 M telah di sempurnakan oleh Tuanku Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Saya juga ingin menekankan bahawa pembentukan Ummah MADANI Bestari bermula daripada individu yang beriman dan berilmu, keluarga yang harmoni dan berakhlak, masyarakat yang inklusif dan prihatin serta kerajaan yang adil dan beramanah,” titah baginda.
Tuanku Syed Sirajuddin, bertitah demikian di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis Tahun 1447H/2025 M di Dewan Auditorium PULAPEN, Pusat Koreksional Negeri Perlis, di sini semalam.
Turut berangkat hadir Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Titah baginda lagi, tema Maal Hijrah pada tahun ini ‘Membangun Ummah MADANI Bestari’ yang membawa maksud usaha berterusan untuk memperbaiki dan memperkukuh masyarakat Islam dari segenap aspek kehidupan sama ada spiritual, sosial, intelektual dan fizikal sangat bertepatan dengan keperluan semasa umat Islam khususnya rakyat di negeri Perlis.
“Ia bukan sekadar sebuah konsep pentadbiran tetapi juga mencerminkan hasrat membina masyarakat yang adil, sejahtera, harmoni dan berkebajikan, selaras dengan tuntutan agama dan Perlembagaan Negara.

Tuanku Raja Perlis berkenan bergambar kenangan bersama para penerima anugerah di Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis 1447H/2025M.
“Selain itu, ia turut menekankan kebijaksanaan, ilmu, akhlak dan kecekapan yang perlu ada dalam setiap individu Muslim, agar mereka mampu menyumbang kepada pembangunan ummah dan negara secara lestari,” titah baginda.
Sebanyak 31 anugerah telah disampaikan kepada penerima yang cemerlang dalam pelbagai kategori dan tiga anugerah utama iaitu Jaaziah Maal Hijrah, Anugerah Maal Hijrah dan Tokoh Maal Hijrah.
Mantan Ahli Jawatankuasa Fatwa negeri Perlis Datuk Johari Mat telah dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Perlis bagi tahun ini.
Hadir sama Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli dan isteri serta barisan kepimpinan negeri dan ketua jabatan negeri dan persekutuan.
-FN-