
Laporan/foto: Ag Ku Marzuki Ag Latip (Tawau)
TAWAU, 08 Jul (MalaysiaAktif) –Meningkatkan kesedaran komuniti mengenai bahaya pembakaran terbuka menjadi fokus utama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah menerusi penganjuran program pendidikan dan advokasi bersama pemimpin akar umbi.

Nizam merasmikan Program Larangan Pembakaran Terbuka bersama pemimpin komuniti di Dewan Masyarakat Tawau, kelmarin.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, Program Larangan Melakukan Pembakaran Terbuka perlu diperluaskan dengan memberi penekanan terhadap isu pencemaran udara, pengurusan sisa dan pelupusan e-sisa secara berhemah.
Tegasnya, pembakaran sampah atau hutan secara sewenang-wenangnya boleh menyebabkan pelepasan karbon dioksida yang tinggi, menyumbang kepada pemanasan global serta menjejaskan kualiti udara, kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar tidak boleh dipikul oleh agensi kerajaan sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak termasuk masyarakat.
“Pemeliharaan hutan dan sumber semula jadi adalah tanggungjawab bersama yang perlu digalas oleh setiap lapisan masyarakat. Hutan adalah penyerap karbon semula jadi dan punca oksigen, manakala sistem air dan udara bersih perlu dijaga demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang,” katanya ketika merasmikan Program Larangan Melakukan Pembakaran Terbuka Bersama Pemimpin Komuniti Daerah Tawau di Dewan Masyarakat Tawau, pada Ahad.

Nizam menyampaikan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah.
Merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, beliau turut menyarankan kawalan lebih berkesan terhadap pelupusan peralatan elektronik seperti televisyen, oven dan telefon bimbit yang memerlukan kaedah pelupusan khas bagi mengelakkan pencemaran berbahaya.
“Tahniah kepada JAS Sabah atas usaha ini. Ia perlu diteruskan bagi memastikan mesej penjagaan alam sekitar disampaikan ke seluruh pelosok masyarakat. Program ini juga seiring dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.
-RJ-