Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

Program RPS Perkasa Komuniti Luar Bandar Tangani 14 Isu Sosial Kritikal

By 40 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/ Foto: Iswandy Kassim (Sri Aman)

 LINGGA, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) Bahagian Sri Aman 2025 melabuhkan tirainya pada Ahad dengan penutupan rasmi di Rumah Panjang Obeng, Dampa Padang, Banting, Lingga selepas berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu.

Majlis penutupan disempurnakan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh yang menyifatkan RPS sebagai pendekatan strategik kerajaan dalam memperkasakan komuniti luar bandar menangani cabaran sosial secara inklusif dan bersepadu.

“Program ini adalah inisiatif Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) bersama rakan strategik seperti Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dan Pejabat Daerah Lingga yang membawa perkhidmatan sosial secara langsung ke kawasan pedalaman,” ujarnya dalam ucapan penutupan.

Mahra menyampaikan ucapan di Program Randau Pembangunan Sosial (RPS) Bahagian Sri Aman 2025.

Menurut Mahra lagi, pendekatan bersasar RPS selari dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 Kerajaan Sarawak yang bukan sahaja memfokuskan pertumbuhan ekonomi dan infrastruktur tetapi juga kesejahteraan sosial rakyat.

Beliau turut memaklumkan  14 isu sosial utama dikenal pasti di kawasan luar bandar memerlukan penyelesaian kolektif merentas agensi merangkumi isu  penyalahgunaan dadah, jenayah seksual dan keganasan rumah tangga, kehamilan remaja, masalah dokumentasi, gelandangan, penyakit jangkitan kelamin (STI), jenayah siber dan kesihatan mental dan  kemiskinan tegar.

“Ia tidak boleh ditangani secara bersendirian. Penyelesaian memerlukan penglibatan aktif semua pihak termasuk pemimpin akar umbi dan komuniti itu sendiri.

“Pada masa sama, program ini memperlihatkan  kesungguhan kerajaan Sarawak  mendekati rakyat dengan empati dan tindakan berfakta, khususnya komuniti yang kurang akses kepada sistem sokongan sosial,” tambah beliau lagi.

Mahra turut menyeru komuniti untuk tidak mensia-siakan peluang yang diperoleh sepanjang program, sebaliknya menggunakannya untuk memperkukuh institusi keluarga dan membina komuniti rumah panjang yang sejahtera.

Kerjasama dan sambutan hangat masyarakat rumah panjang terhadap program yang dianjurkan KPWK.

Program selama tiga hari itu turut disertai penduduk Kampung Banting serta rumah panjang berdekatan seperti Rh Sidang, Rh Sabang dan Rh Salang. Pelbagai aktiviti diadakan termasuk ceramah kesedaran sosial oleh KPWK dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta saringan kesihatan percuma oleh Klinik Kesihatan Lingga dan Hospital Sri Aman.

Beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Kesihatan, Pejabat Pendidikan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat turut membuka kaunter bergerak bagi menyampaikan perkhidmatan secara terus kepada penduduk.

Turut hadir Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Sosial, Riziandy Nawawi, Pegawai Daerah Lingga, Frank Lani, ketua-ketua jabatan kerajaan dan pemimpin masyarakat setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda