
Laporan/foto: Faizzad Kamal/Hanizatul Azwa (Batang Padang)
TAPAH, 4 Jul (MalaysiaAktif) – Penduduk Kampung Baru Batu 4, Tapah Road kini mampu menarik nafas lega apabila Projek SejaTi MADANI berjaya membuka lembaran baharu dalam menjana pendapatan melalui penghasilan kraf tangan beg riben.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Dr. Mohamad Yusri Bakir ketika merasmikan projek di Dewan Kampung Baru Batu 4, Tapah Road, di sini semalam turut menyatakan sokongan terhadap usaha meningkatkan ekonomi wanita luar bandar.

Dr. Yusri Bakir ketika berucap merasmikan program.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselmatan Kampung (JPKK) Ali Bahaudin, menzahirkan penghargaan kepada Unit Penyelarasan Perlaksanaan (ICU) Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) serta pihak-pihak lain yang terlibat dalam menjayakan projek komuniti ini.
“Melalui projek ini, bukan sahaja kita berjaya melatih dan membuka peluang kepada penduduk, malah telah mencatat jumlah jualan lebih RM6,700 sejak dilancarkan,” katanya.
Menerusi insentif Program SejaTi MADANI, seramai 16 orang peserta wanita telah diberikan kursus pembuatan beg riben, beg goodies (hadiah) selain latihan kewangan dan pemasaran.
Salah seorang peserta Zaiton Tan, 73, meluahkan rasa syukur apabila masih mampu menyumbang kepada pendapatan keluarga.

Antara peserta SejaTi MADANI bagi pembuatan kraf tangan.
“Walaupun saya yang paling tua dalam kumpulan ini, saya bersyukur kerana masih boleh menyumbang hampir RM500 sebulan hasil membuat beg kraf tangan,” katanya.
Projek ini bukan sahaja menghidupkan semula semangat kerja dari rumah, malah merapatkan hubungan komuniti dan memperkasakan wanita desa.
Turut disuarakan dalam majlis tersebut ialah permohonan penggantian titi kampung yang uzur dan pemulihan gelanggang badminton sebagai usaha menaik taraf prasarana kampung.
Dengan kejayaan permulaan ini, Kampung Baru Batu 4 kini beraspirasi menjadi model komuniti desa yang berdikari, inklusif dan maju selari dengan aspirasi MADANI.
-FN-