
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)
JOHOR BAHRU, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Usaha berterusan dalam memastikan keterjaminan bekalan air bersih, selamat dan mampan terus diperkukuh bagi menjamin kesejahteraan rakyat negeri ini, selaras dengan pertumbuhan pesat Johor sebagai sebuah negeri membangun.
Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd. Anuar Abdul Ghani, berkata jaminan bekalan air yang kukuh amat penting dalam mendepani cabaran masa hadapan termasuk pertambahan populasi, kepesatan pembangunan serta keperluan mengoptimumkan keupayaan sistem sedia ada.
“Usaha naik taraf berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem bekalan air Johor berada dalam keadaan terbaik. Ini penting untuk menyokong keperluan rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Beliau, berkata pihaknya komited untuk melaksanakan pelbagai inisiatif penambahbaikan merangkumi penggantian paip lama, pengurangan kadar kehilangan air serta pemodenan loji rawatan air.
“Dana pembangunan akan digunakan untuk memperkukuh infrastruktur bekalan air, meningkatkan kecekapan operasi serta memperluaskan jaringan sistem bagi memenuhi permintaan semasa dan masa hadapan,” katanya.
Menurut Anuar, Ranhill SAJ turut merancang pelaksanaan sistem pintar dalam operasi bekalan air yang dijangka dapat meningkatkan mutu perkhidmatan selain mempercepatkan tindakan terhadap sebarang isu yang timbul.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada perancangan jangka panjang syarikat bagi memperkukuh daya tahan sistem pembekalan air dan menyediakan kemudahan terbaik kepada pengguna,” katanya.
Tambahnya, anggaran perbelanjaan bagi tempoh beberapa tahun akan datang adalah sekitar RM3 bilion yang meliputi pembiayaan kerja-kerja naik taraf, pemodenan loji rawatan serta penggantian paip lama.
“Ranhill SAJ akan terus memainkan peranan dalam menyokong pembangunan Johor menerusi sistem bekalan air yang efisien, moden dan mampan,” katanya.
Anuar turut menegaskan bahawa syarikat akan terus menunaikan tanggungjawab sosial dengan membantu golongan memerlukan termasuk menerusi pemberian rebat khas kepada kumpulan rentan.
“Kami amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh para pengguna selama ini. Sokongan berterusan amat penting dalam usaha memastikan bekalan air berkualiti dapat dinikmati oleh generasi kini dan akan datang.
“Sebagai operator utama bekalan air di negeri ini, kami komited untuk memikul tanggungjawab ini sebaik mungkin demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
-RI