
Laporan/foto: Ahmad Faisal/Zairul Afendi (Perak Tengah)
PARIT, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang diperkenalkan melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sadang Tengah sejak Februari lalu kini mula menampakkan hasil apabila berjaya menjana pendapatan melalui penghasilan dan penjualan kerisik secara komersial.
Hasil penyaluran peruntukan sebanyak RM100,000, projek berkenaan memberi peluang kepada komuniti setempat untuk menceburi bidang pemprosesan makanan tradisional khususnya kerisik yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

(Kanan) Pengusaha utama projek Hasrimah Hasan ketika ditemu bual.
Penghasilan produk ini dilakukan dua hari seminggu di pusat pemprosesan kecil yang dikendalikannya sendiri.
Menurut pengusaha utama projek Hasrimah Hasan, 51, sambutan terhadap produk yang dihasilkan bergantung kepada keadaan pasaran, namun mereka tetap berusaha mengekalkan kualiti dan harga berpatutan walaupun berdepan cabaran.
“Kerisik buatan kami dihasilkan secara tradisional menggunakan kelapa segar, mampu bertahan sehingga dua tahun. Walaupun bersaing dengan produk kilang, pelanggan tetap cari rasa asli,” katanya ketika ditemui di Rumah Kueh JPKK Sejati MADANI, di sini pagi tadi.
“Saingan agak sengit kerana banyak produk kerisik di pasaran sekarang. Tapi kami masih dapat tempat sebab orang cari kerisik asli yang dibuat segar. Walaupun harga kelapa naik, kami masih kekalkan harga RM5 sebungkus,” jelasnya.
Tambah Hasrimah, kerisik yang dihasilkan adalah 100 peratus tanpa bahan pengawet dan menggunakan kaedah tradisional bagi mengekalkan rasa lemak dan aroma asli kelapa yang digoreng.

Pelanggan tetap Abdul Latif.
Salah seorang pelanggan tetap Abdul Latif Hashim, 63, turut memuji kualiti kerisik tempatan tersebut.
“Saya memang dah cuba banyak jenis kerisik, tapi yang ini lain. Wangi, rasa lemaknya pun kuat. Memang terbaik untuk buat rendang dan kerabu,” katanya.
Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia MADANI yang bertujuan memperkasakan komuniti luar bandar melalui pemerkasaan ekonomi dan pemeliharaan warisan tempatan.
Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, Projek SejaTi MADANI JPKK Sadang Tengah dilihat berpotensi untuk terus berkembang dan menjadi model pembangunan ekonomi komuniti berasaskan produk tempatan.
-RI