
Laporan/foto: Rosli Md Zin Foto
TUMPAT, 10 Jul (MalaysiaAktif) – Semangat nasionalisme dan rasa cinta kepada negara perlu diterapkan dalam setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum.
Salah satu pendekatan berkesan yang digunakan untuk tujuan ini adalah melalui Pertandingan Pengisahan Kenegaraan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Kelantan, yang berlangsung semalam.

Pelajar dari SMK Tendong membawa watak pejuang tanah air sebagai simbol kecintaan terhadap negara.
Pertandingan tersebut memberi tumpuan kepada penceritaan kisah-kisah kepahlawanan dan perjuangan tokoh tempatan menentang penjajah. Beberapa kumpulan peserta turut menyampaikan pengisahan berkaitan dasar-dasar kerajaan, misi serta visi negara secara kreatif dan menarik.
Menurut pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tendong Muhd Alif Hariz Hairul Izwan, 18, pertandingan ini telah membangkitkan minatnya terhadap sejarah perjuangan negara.
Dalam penyertaannya, beliau memilih untuk membawa watak Tok Janggut, seorang tokoh yang amat dikaguminya.
“Saya mula mengagumi semangat perjuangan Tok Janggut setelah membaca kisah hidupnya. Walaupun kumpulan kami tidak menang, saya puas hati kerana dapat membawakan watak seorang tokoh yang saya sanjungi,” katanya.
Di sebalik kemajuan teknologi masa kini, golongan muda sering terdedah kepada pelbagai pengaruh negatif. Justeru, usaha menyemai semangat patriotik perlu diberi keutamaan bagi memastikan generasi akan datang tidak melupakan sejarah dan asal usul mereka.

Sesi bergambar kenangan bersama peserta dan pelajar-pelajar SMKA Falahiah selaku tuan rumah bagi Pertandingan Pengisahan Kenegaraan @KelabMalaysiaku Peringkat Negeri Kelantan.
Seorang guru pengiring yang turut hadir menyatakan bahawa pertandingan seperti ini dapat membantu pelajar mengenali jati diri dan menghargai pengorbanan tokoh terdahulu.
“Kita perlu sentiasa ingat bahawa kemerdekaan dan keamanan yang kita nikmati hari ini adalah hasil pengorbanan generasi terdahulu. Pengisahan seperti ini membantu kita menghargai sejarah dan mengenali akar budaya bangsa,” ujarnya.
Pertandingan ini berjaya menarik penyertaan pelajar dan sokongan daripada masyarakat setempat yang hadir memberi galakan kepada para peserta.
-RI