
Laporan/foto: Armizie Hanazifs/Hafizullah Abd Aziz (Pendang)
PENDANG, 5 Jul (MalaysiaAktif) – Penjelasan mengenai dasar baharu kerajaan khususnya berkait penstrukturan semula kadar tarif elektrik menjadi lebih mudah difahami penduduk akar umbi menerusi program sembang santai di Kampung Batu 16, di sini hari ini.
Ketua Komuniti MADANI kampung berkenaan, Syed Fadzil Syed Ibrahim, berkata program itu bukan sahaja menjadi ruang untuk bertukar pandangan, malah sebagai medium komunikasi dua hala yang efektif dalam menyampaikan informasi berguna kepada masyarakat.
“Semoga ilmu dan penjelasan yang dikongsikan hari ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dan seterusnya disebarkan kepada keluarga, jiran dan komuniti setempat agar lebih ramai mendapat kefahaman yang jelas dan tidak terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sesi perkongsian informasi oleh Mohd Yazid wakil dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Pendang itu mendapat sambutan hangat daripada penduduk setempat dengan rata-ratanya berharap agar program seumpamanya dapat diteruskan dan diperluaskan ke kawasan lain pula pada masa akan datang.

Sebahagian peserta dan agensi yang menjayakan program Sembang Santai Komuniti MADANI Kampung Batu 16.
Pegawai Penerangan Daerah Pendang Syamimi Aaizag Ibrahim berkata program itu bukan sahaja berperanan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai isu yang diketengahkan, malah menyediakan ruang interaksi secara langsung dengan penceramah termasuk mengemukakan soalan serta pandangan mereka.
“Bagi menjayakan program pada hari ini, kita menjemput wakil daripada Tenaga Nasional Berhad untuk memberi penerangan secara langsung mengenai penstrukturan baharu kadar tarif elektrik agar masyarakat setempat memperoleh maklumat yang tepat dan sahih,” ujarnya.
-FN-