
Laporan/foto: Nor Emylia Lot/Maherah Marina Mahusin (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 9 Jul (MalaysiaAktif) – Gelanggang futsal Kampung Bukit Berangan, Tepoh, di sini kelmarin bergema dengan sorakan dan tawa riang apabila penduduk setempat membanjiri kawasan itu bagi menyaksikan Pertandingan Futsal Komuniti sempena Program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) @ Komuniti MADANI.
Acara yang meriah itu bukan sekadar perlawanan biasa, tetapi menjadi wahana memperkukuh hubungan antara generasi dan mengangkat peranan belia sebagai ejen perpaduan setempat.

Menurut Nabil Qayum penyertaan dalam pertandingan ini memberinya peluang untuk bersama komuniti setempat.
Dianjurkan secara kolaboratif oleh pelbagai agensi, pertandingan ini berjaya menarik penyertaan pasukan belia dari pelbagai latar termasuk pelajar sekolah, lepasan sekolah, pekerja muda dan persatuan belia sekitar Tepoh membuktikan bahawa sukan mampu menjadi jambatan perpaduan yang ampuh dalam komuniti.
“Kebiasaannya kami hanya main futsal lepas sekolah. Tapi kali ini, kami diberi peluang bermain dalam suasana rasmi, disokong masyarakat. Rasa seronok, dihargai dan lebih semangat,” kata Nabil Qayum Mohd Shahrul Anwar, 17, yang mewakili salah satu pasukan.
Muhamad Afif Othman, 18, pula melihat penyertaannya sebagai satu peluang berharga.

Muhamad Afif, berkata penyertaan dalam pertandingan futsal ini adalahi cara terbaik untuk meluangkan masa secara sihat dan bebas dari pengaruh negatif.
“Daripada habiskan masa melepak, baik turun gelanggang. Ini baru aktiviti sihat. Harap jadi acara bulanan, kalau boleh buat liga kampung pun bagus,” ujarnya dengan penuh harapan.
Ketua Komuniti MADANI Kampung Bukit Berangan Hafiz Aziz, menekankan bahawa program seperti ini membawa impak besar kepada pembentukan sahsiah dan interaksi sosial belia.
“Futsal bukan sekadar sukan, tapi alat psikososial yang ampuh menyatukan belia, merapatkan jurang sosial dan beri ruang untuk mereka menyinar dalam komuniti,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan dan membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda melalui kerjasama strategik bersama agensi-agensi belia dan sukan.
Futsal di Bukit Berangan kali ini bukan sekadar permainan ia adalah suara belia, semangat komuniti dan langkah ke arah masyarakat yang lebih harmoni.
-RI