Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Teknologi dan IoT Pemangkin Kemajuan Pertanian di Kedah

By 1 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Fatin Nabila Muktar/Intan Iryani Mohamad (Kedah)

ALOR SETAR, 11 Jul (MalaysiaAktif) – Penerapan teknologi moden dan penggunaan teknologi internet kebendaan (IoT) disifatkan sebagai kunci utama bagi memacu pertumbuhan sektor pertanian, khususnya di negeri Kedah yang dikenali sebagai ‘Jelapang Padi Negara’.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, berkata meskipun Kedah memiliki tanah pertanian yang luas dan populasi seramai 2.2 juta orang, hanya sekitar 124,431 individu terlibat secara langsung dalam sektor ini termasuk pekerja asing.

Ketua Perangkawan ketika menyampaikan ucapan.

“Ini jelas menunjukkan betapa perlunya penggunaan teknologi dan automasi untuk mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh manual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 Peringkat Negeri Kedah di sebuah hotel, di sini semalam.

Menurutnya, kawasan pertanian pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik juga boleh memanfaatkan teknologi melalui penggunaan tenaga solar, sekali gus membolehkan aplikasi IoT dilaksanakan tanpa halangan besar.

Dr. Mohd Uzir turut melancarkan Sistem Statistik Pertanian Bersepadu (TaniStats)iaitu pangkalan data digital yang menyimpan dan mengurus maklumat sektor pertanian negara.

Melawat ruang pameran yang disediakan.

“TaniStat akan dikemas kini sekurang-kurangnya setiap suku tahun bagi memastikan data yang dikongsi sentiasa relevan dan terkini. Platform ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada penggubal dasar, malah kepada pengusaha tani dan pelabur.

“Kita juga memuatkan 50 kisah kejayaan sebagai inspirasi kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang ini,” katanya.

TaniStat dijangka menjadi pemangkin kepada transformasi digital sektor pertanian di Malaysia dengan menghubungkan pelbagai sumber data dalam satu ekosistem bersepadu.

-RI

Tinggalkan komen anda