Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

TNB Turun Padang Perjelas Penstrukturan Semula Tarif Elektrik

By 20 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamimi Aaizag Ibrahim/Umi Natrah Jamaludin (Pendang)

PENDANG, 6 Jul (MalaysiaAktif) – Satu sesi sembang santai Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah bersama warga Komuniti MADANI Kampung Batu 16 telah diadakan di sini semalam bagi menyantuni masyarakat setempat dan menyampaikan maklumat berkaitan isu penstrukturan semula tarif elektrik.

Noor Najah mengedarkan bahan penerbitan berkaitan penstrukturan semula tarif elektrik.

Hampir 50 orang peserta yang hadir diberikan penjelasan secara terperinci tujuan, mekanisme serta kesan penstrukturan semula tarif tersebut terhadap pengguna domestik dan industri.

Menurut Ketua Perkhidmatan Pelanggan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kedah Mohd Yazid Abd Majid, ini merupakan program pertama pihak TNB Kedah bersama warga komuniti bagi memberi penerangan secara terus berhubung isu tersebut dan menyifatkannya sebagai platform yang efektif untuk menjelaskan dasar-dasar baharu kerajaan serta mendengar maklum balas secara langsung daripada rakyat.

“Penstrukturan semula ini bertujuan untuk memastikan kelestarian bekalan tenaga negara serta memberi insentif kepada pengguna untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara bijak,” ujarnya.

Sesi soal jawab turut diadakan bagi memberi ruang kepada peserta untuk menyuarakan persoalan dan kebimbangan mereka secara terus kepada wakil TNB sekali gus membantu menjernihkan kekeliruan yang timbul dalam kalangan masyarakat berkaitan isu yang diketengahkan.

Salah seorang peserta Musliha Usman, 45, berpuashati dengan penjelasan daripada pihak TNB.

“Selama ini terlalu banyak pendapat yang berbeza dan tidak dapat dipastikan kesahihannya terutama di media sosial, jadi melalui sesi ini barulah saya benar-benar faham apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Mohd Yazid (kiri) bersama Pegawai Penerangan Daerah Pendang selepas menyempurnakan sesi taklimat bersama warga Komuniti MADANI Kampung Batu 16.

Sementara itu, Pengurus Cawangan TNB Pendang Noor Najah Husin mengalu-alukan kerjasama berterusan bersama Pejabat Penerangan Daerah (PPD) Pendang.

“Jika pada masa akan datang Pejabat Penerangan memerlukan kerjasama daripada pihak TNB untuk membuka booth (reruai) pameran dan kaunter khidmat pelanggan dalam program-program yang dianjurkan, kami sedia untuk turut serta bagi memberi maklumat secara lebih dekat dan mesra kepada masyarakat,” ujarnya.

-FN-

Tinggalkan komen anda