
Laporan/foto: Noor Farihah Mohamed Rahim
TANAH MERAH, 8 Jul (MalaysiaAktif) – Tradisi memasak bubur Asyura sempena sambutan Tahun Baharu Hijrah terus menjadi medium mempererat silaturahim dalam kalangan penduduk Kampung Bendang Nyior, di sini.
Program anjuran Komuniti MADANI Bendang Nyior dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) itu berlangsung dalam suasana penuh kekeluargaan di pekarangan rumah Pengerusi JPKKP Bendang Nyior, bermula seawal pukul 8.00 pagi kelmarin.

Aktiviti mengacau bubur Asyura.
Seramai 40 penduduk kampung berganding bahu menyediakan bubur Asyura yang sinonim dengan gabungan pelbagai bahan seperti lengkuas, serai, halia, daging, ayam, beras, santan dan rempah ratus khas. Proses memasak mengambil masa antara tujuh hingga sembilan jam sebelum bubur diagihkan kepada penduduk setempat.
Ketua Komuniti MADANI Bendang Nyior Che Talmizi Drahman, berkata tradisi tersebut bukan sahaja mengekalkan resipi turun-temurun tetapi turut menjadi platform mengeratkan hubungan sesama komuniti.
“Aktiviti sebegini akan terus dikekalkan sebagai wadah memupuk perpaduan dan keceriaan dalam kalangan masyarakat, sambil beramal dan meraikan sambutan awal Muharam,” katanya.

Bubur Asyura diagihkan kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, Pengerusi JPKKP Bendang Nyior Pauzi Luman, berkata walaupun program diadakan secara sederhana, semangat kebersamaan jelas terpancar sepanjang aktiviti berlangsung.
“Kemeriahan dapat dirasai apabila semua penduduk bergotong-royong menyediakan bahan, mengacau bubur Asyura dan seterusnya mengagihkannya bersama,” ujarnya.
Menurutnya, lagi penganjuran program turut memberi pendedahan kepada generasi muda mengenai tradisi penyediaan bubur Asyura agar warisan ini terus kekal sepanjang zaman.
-FN-